Terkini
Umat Islam perlu tingkatkan daya saing dan inovasi – Ketua Menteri Sabah
Umat Islam di negeri ini digesa melipatgandakan usaha dengan meningkatkan daya saing dan inovasi dalam pelbagai sektor, untuk menghadapi pelbagai cabaran yang akan datang.
- Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata dalam konteks ini, beliau yakin penghayatan terhadap al-Quran, umat Islam akan menjadi umat yang dinamik, progresif dan cemerlang.
- “Sesungguhnya kitab suci al-Quran mengandungi begitu banyak pengajaran dan panduan yang sepatutnya kita manfaatkan untuk menjadi sebuah bangsa serta umat yang berjaya dalam semua aspek kehidupan.
- “Islam amat menggalakkan umatnya mengamalkan semangat bersaing dalam semua bidang untuk mencapai kemajuan dan kejayaan,” katanya sempena Penyampaian Hadiah dan Penutupan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma MUIS di sini semalam.
KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini digesa melipatgandakan usaha dengan meningkatkan daya saing dan inovasi dalam pelbagai sektor, untuk menghadapi pelbagai cabaran yang akan datang.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata dalam konteks ini, beliau yakin dengan penghayatan terhadap al-Quran, umat Islam akan menjadi umat yang dinamik, progresif dan cemerlang.
“Sesungguhnya kitab suci al-Quran mengandungi begitu banyak pengajaran dan panduan yang sepatutnya kita manfaatkan untuk menjadi sebuah bangsa serta umat yang berjaya dalam semua aspek kehidupan.
“Islam amat menggalakkan umatnya mengamalkan semangat bersaing dalam semua bidang untuk mencapai kemajuan dan kejayaan.
“Ia adalah resipi membangunkan masyarakat yang bersemangat untuk maju, bukan sahaja dari segi teknikal tetapi turut digabungkan dengan nilai keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Penyampaian Hadiah dan Penutupan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma MUIS di sini, semalam.
Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyempurnakan Perutusan Perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri komited untuk membawa negeri Sabah ke tahap yang lebih baik dan maju sejajar konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh Kerajaan Perpaduan.
Komitmen ini katanya, diterjemahkan dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada aspek pemerkasaan pendidikan dan latihan, pengupayaan sektor ekonomi serta pengukuhan hubungan serta persefahaman antara masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di negeri ini.
“Kita amat bersyukur kerana Sabah diberikan sumber rezeki yang melimpah ruah. Selain rezeki berupa tanaman dan ternakan, tanah bertuah ini juga dilimpahi dengan nikmat alam sekitar yang cantik selain sumber alam lainnya seperti minyak dan gas.
“Dengan segala nikmat ini, kita perlu menguruskan segala sumber kekayaan dengan penuh amanah.
“Justeru, semua pihak mesti berjiwa besar untuk menerapkan kebijaksanaan serta kemahiran bagi mengoptimumkan keupayaan dalam meneroka dan memanfaatkan potensi sumber kekayaan itu.
“Segala hasil pertanian, ternakan, hutan, petroleum, gas dan sebagainya itu tidak akan memberi sebarang keuntungan serta manfaat jika manusia tidak tahu dan mahu mengambil inisiatif mengubah diri sendiri untuk menghargai serta mensyukuri nikmat secara positif, kreatif dan inovatif,” katanya.
Katanya, selain memulihara sumber huluan yang ada, rakyat harus bijak dan kreatif mempelbagaikan industri hiliran sebagai upaya memberi nilai tambah kepada hasil sedia ada.
Sumber: Berita Harian