Antarabangsa
Netanyahu pecat Menteri Pertahanan Israel, cetus protes besar-besaran
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam memecat Menteri Pertahanan Yoav Gallant, hingga ia mencetuskan bantahan besar-besaran di negara itu.

- Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam memecat Menteri Pertahanan Yoav Gallant, hingga mencetuskan bantahan besar-besaran di negara itu.
- Pemecatan itu sehari selepas Gallant menggesa Netanyahu menghentikan rancangan yang sangat dipertikaikan untuk merombak sistem kehakiman.
- Ketika berita mengenai pemecatan itu tersebar, puluhan ribu penunjuk perasaan turun ke jalanan menentang langkah berkenaan dengan mengibarkan bendera Israel berwarna biru dan putih di seluruh negara.
- “Keselamatan negara tidak boleh menjadi ‘kad’ dalam permainan politik. Netanyahu melangkaui had malam ini,” kata pemimpin pembangkang, Yair Lapid dan Benny Gantz.
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam memecat Menteri Pertahanan Yoav Gallant, hingga ia mencetuskan bantahan besar-besaran di negara itu.
Pemecatan itu sehari selepas Gallant menggesa Netanyahu menghentikan rancangan yang sangat dipertikaikan untuk merombak sistem kehakiman.
Ketika berita mengenai pemecatan itu tersebar, puluhan ribu penunjuk perasaan turun ke jalanan menentang langkah berkenaan pada lewat malam dengan mengibarkan bendera Israel berwarna biru dan putih di seluruh negara.
Mereka itu berkumpul di luar rumah Netanyahu di Baitulmaqdis, melanggar had garisan keselamatan.
Kira-kira tiga bulan sejak memegang kembali memegang jawatan, gabungan nasionalis-agama Netanyahu terjerumus ke dalam krisis berhubung perpecahan getir berikutan rancangan baik pulih kehakiman utamanya.
“Keselamatan negara tidak boleh menjadi ‘kad’ dalam permainan politik. Netanyahu melangkaui had malam ini,” kata pemimpin pembangkang, Yair Lapid dan Benny Gantz dalam satu kenyataan bersama.
Ketika mengumumkan pemecatan Gallant, pejabat Netanyahu tidak menamakan pengganti atau memberikan sebarang butiran lain.
“Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memutuskan memecat Menteri Pertahanan Yoav Gallant petang ini,” kata kenyataan itu.
Tidak lama selepas itu, Gallant, 64, menerusi ciapan Twitter mengatakan, keselamatan Israel sentiasa sentiasa menjadi misi hidupnya.
Netanyahu membuat keputusan memecat Gallant susulan Sabtu lalu, bekas laksamana tentera laut itu memberi amaran rancangan baik pulih itu berisiko ‘ancaman yang jelas, serta-merta dan nyata kepada keselamatan negeri’ dan menggesa rancangan terbabit dihentikan.
“Pada masa ini, demi negara ini, saya sanggup mengambil apa-apa risiko dan melakukan apa saja,” katanya ketika ucapannya disiarkan di televisyen.
Sehubungan itu, malam tadi Netanyahu bertindak balas mengatakan beliau bersedia meratifikasi bahagian tengah pakej baik pulih, rang undang-undang (RUU) yang akan mengetatkan kawalan politik ke atas pelantikan kehakiman, memberikan kebebasan lebih luas kepada eksekutif untuk menamakan hakim kepada Mahkamah Agung.
Awal bulan ini, Presiden Isaac Herzog, ketua negara yang sepatutnya kekal dalam politiknya, memberi amaran Israel berdepan ‘malapetaka’ melainkan konsensus yang lebih luas dapat dicapai mengenai kaedah merombak badan kehakiman.
Bagaiamanapun Netanyahu, dibicarakan atas tuduhan rasuah yang dinafikannya, berikrar untuk meneruskan projek yang pada pendapatnya diperlukan untuk mengekang hakim aktivis dan memulihkan keseimbangan yang sepatutnya antara kerajaan yang dipilih dan badan kehakiman.
Polis terpaksa menggunakan meriam air untuk meleraikan penunjuk perasaan mara ke kediaman Netanyahu di Baitulmaqdis itu yang menjadi tumpuan ratusan pemprotes sejak awal tahun lagi.
Tidak jelas sama ada protes itu akan memberi kesan kepada taktik kerajaan.
Sekurang-kurangnya tiga menteri Likud berkata secara terbuka, sudah tiba masanya untuk menilai semula strategi mereka dan mereka akan menyokong menghentikan undang-undang jika Netanyahu memutuskan untuk berbuat demikian.
Ketua jawatankuasa parlimen yang memutuskan perundangan itu berkata, perbincangan akan diteruskan hari ini.
Krisis itu berlaku ketika pertubuhan keselamatan Israel bersiap sedia menghadapi potensi keganasan dalam beberapa minggu akan datang ketika bulan suci Ramadan yang berlaku serentak dengan perayaan Yahudi dan perayaan Kristian.
Sepanjang tahun lalu, tentera Israel melakukan hampir setiap hari serbuan di Tebing Barat yang diduduki, membunuh lebih daripada 250 pejuang dan orang awam Palestin, manakala lebih daripada 40 orang Israel dan warga asing dibunuh oleh penyerang Palestin.
Sabtu lalu, Gallant menjadi ahli paling kanan parti Likud berhaluan kanan Netanyahu berkata, beliau tidak akan menyokong baik pulih kehakiman, sambil menyatakan bantahan yang termasuk peningkatan bilangan anggota simpanan tentera turut menjejaskan pasukan tetap dan menjejaskan keselamatan negara.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pegawai kanan Kementerian Kewangan memberi amaran mengenai tindak balas ekonomi dan pemimpin perniagaan menyuarakan kebimbangan masa depan syarikat mereka.
Sumber: Berita Harian
