Connect with us

Terkini

Mahkamah Tinggi tolak rayuan dakwa dua pendakwah hina agama lain

Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan seorang pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) untuk memulakan pendakwaan persendirian terhadap dua mualaf kerana didakwa menghina kepercayaan dan amalan agama orang bukan Islam, demikian lapor Free Malaysia Today.

Wartawan TMT

Published

on

Mahkamah Tinggi tolak rayuan dakwa dua pendakwah hina agama lain
Foto: Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), S Shashi Kumar.
  • Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), S Shashi Kumar untuk memulakan pendakwaan persendirian terhadap dua pendakwah mualaf, Firdaus Wong dan Zamri Vinoth Kalimuthu.
  • Kedua-duanya didakwa menghina kepercayaan dan amalan agama orang bukan Islam menerusi hantaran di media sosial.
  • Tiada merit dalam rayuan yang dikemukakan oleh S Shashi Kumar terhadap pendakwa raya. – Pesuruhjaya Kehakiman, Wendy Ooi.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan seorang pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) untuk memulakan pendakwaan persendirian terhadap dua mualaf kerana didakwa menghina kepercayaan dan amalan agama orang bukan Islam, demikian lapor Free Malaysia Today.

Pesuruhjaya Kehakiman, Wendy Ooi berkata tiada merit dalam rayuan dikemukakan Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), S Shashi Kumar terhadap pendakwa raya.

“Majistret membuat penemuan yang betul dalam menolak permohonan untuk memulakan pendakwaan persendirian,” katanya.

Peguam S Ravichandran yang mewakili Shashi berkata dia akan membuat permohonan di Mahkamah Rayuan jika anak guamnya mengarahkan demikian.

“Ia bukan hak rayuan automatik. Kami perlu mengenal pasti soalan undang-undang untuk mendapatkan kebenaran untuk merit rayuan didengar,” katanya.

Pada 3 Sept 2021, Majistret Redza Azhar Rezali menolak permohonan itu kerana perkara itu masih dalam siasatan.

Redza juga berpendapat yang aduan Shashi tidak boleh dilayan kerana Firdaus Wong dan Zamri Vinoth Kalimuthu didakwa melakukan kesalahan boleh tangkap.

Bagaimanapun, aduan Shashi telah dibuat mengikut Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah yang hanya terpakai bagi kesalahan tidak boleh tangkap.

Majistret juga mengambil maklum maklumat yang diberikan Timbalan Pendakwa Raya Ainul Amirah Abdul Razak yang hadir pada April 2021.

Menurut Ainul Amirah, polis masih menyiasat laporan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan kesalahan menggalakkan permusuhan atas alasan agama atau kaum dan bagi perbuatan yang memudaratkan pemeliharaan keharmonian.

Mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara sekurang-kurangnya dua tahun dan lima tahun maksimum.

Redza berkata budi bicara sama ada untuk mendakwa sesiapa atas kesalahan itu terletak pada peguam negara dan hanya boleh dilaksanakan selepas siasatan selesai.

Tambahnya, mahkamah tidak boleh menjalankan siasatan berhubung perkara itu kerana ia tidak mempunyai maklumat yang diperlukan.

Redza juga berkata yang Seksyen 298A adalah kesalahan boleh tangkap yang membenarkan polis menangkap dan menahan suspek.

Shashi mengambil tindakan terhadap Firdaus yang merupakan Presiden dan Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM) dan Zamri, yang kedua-duanya dikatakan berkait dengan pendakwah kontroversi Zakir Naik.

Firdaus didakwa menghina orang yang menganut agama bukan Islam, khususnya yang beragama Hindu, melalui hantaran di Facebook dan YouTube.

Dalam akuan berkanun, Shashi berkata dia membuat laporan polis terhadap Firdaus pada Januari 2018 selepas melihat hantaran mereka di kedua-dua platform media sosial itu.

“Kandungan tersebut telah menimbulkan kebencian dan penghinaan terhadap bukan Islam di Malaysia dan berkemungkinan menggugat keamanan,” katanya sambil menambah ramai pihak lain telah membuat laporan serupa.

Shashi juga menghantar memorandum kepada Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad serta kepada Menteri Dalam Negeri, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Menteri Perpaduan Negara, Jabatan Hal Ehwal Islam dan Jabatan Peguam Negara pada Oktober 2018.

Dalam akuan berkanun berasingan, Shashi berkata dia membuat laporan polis terhadap Zamri pada Jun tahun lepas kerana didakwa menghina ritual dan amalan Hindu melalui catatan di akaun Facebooknya yang tular.

“Hantarannya berkemungkinan menimbulkan kebencian dan mengganggu keharmonian agama dalam kalangan penganut berbeza agama,” kata Shashi.

Shashi mendakwa telah bertanyakan kepada pihak polis mengena status laporannya terhadap kedua-dua mereka, namun tidak mendapat jawapan.

Sumber: Free Malaysia Today

Author

Terkini

Kenapa kerajaan gelojoh gadaikan 30 peratus saham MAHB kepada syarikat asing? – Radzi Jidin

Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Dr Radzi Jidin mempersoalkan tindakan Kerajaan Madani yang dilihat ‘gelojoh’ hendak menjual 30 peratus saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat asing yang membabitkan kepentingan aset strategik negara.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.
  • Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Dr Radzi Jidin mempersoalkan tindakan Kerajaan Madani yang dilihat ‘gelojoh’ hendak menjual 30 peratus saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat asing yang membabitkan kepentingan aset strategik negara.
  • Radzi berkata MAHB bukan sebuah syarikat yang rugi dan bermasalah, sebaliknya MAHB mencatatkan keuntungan RM543 juta dengan jumlah tunai di dalam akaun RM1.845 billion untuk tahun kewangan 2023.
  • Beliau berkata melihat kepada potensi pertumbuhan sektor pelancongan di seluruh dunia, MAHB mempunyai ruang cukup luas untuk mencatatkan pertumbuhan keuntungan lebih baik.
  • Hakikatnya, aset logistik, khususnya di Asia, menjadi buruan pelbagai pihak. Apatah lagi kedudukan geografi Malaysia yang amat strategik. 
  • “Jadi, ketika mana kita tahu semua pihak ingin mencari peluang memiliki aset strategik di rantau ini, mengapa Kerajaan begitu gelojoh ingin menggadaikan blok 30 peratus saham MAHB kepada syarikat asing?,” kata Radzi dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
  • “Apa yang paling mencurigakan dan tidak masuk akal adalah apabila Kerajaan sanggup mengambil risiko disumpah seranah oleh rakyat kerana dalam waktu dan ketika saudara kita di Palestin ditindas oleh Israel, Kerajaan menjual kepentingan dalam MAHB kepada GIP yang dimiliki oleh BlackRock yang dikatakan pro-Israel!
  • “Apakah terdapat faktor yang jauh lebih besar menyebabkan Kerajaan sanggup secara terbuka menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap apa yang berlaku di Palestin?,” kata Radzi.
  • Beliau menggesa Kerajaan, melalui  Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), membatalkan tawaran sukarela prasyarat yang dibuat Gateway Development Alliance (GDA).

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Dr Radzi Jidin mempersoalkan tindakan Kerajaan Madani yang dilihat ‘gelojoh’ hendak menjual 30 peratus saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat asing yang membabitkan kepentingan aset strategik negara.

Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, MAHB bukan sebuah syarikat yang rugi dan bermasalah, sebaliknya MAHB mencatatkan keuntungan RM543 juta dengan jumlah tunai di dalam akaun RM1.845 billion untuk tahun kewangan 2023.

Beliau berkata melihat kepada potensi pertumbuhan sektor pelancongan di seluruh dunia, MAHB mempunyai ruang cukup luas untuk mencatatkan pertumbuhan keuntungan lebih baik.

Hakikatnya, aset logistik, khususnya di Asia, menjadi buruan pelbagai pihak. Apatah lagi kedudukan geografi Malaysia yang amat strategik. 

“Jadi, ketika mana kita tahu semua pihak ingin mencari peluang memiliki aset strategik di rantau ini, mengapa Kerajaan begitu gelojoh ingin menggadaikan blok 30 peratus saham MAHB kepada syarikat asing?

“Jika diambil beberapa contoh negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam, syarikat yang menguruskan  lapangan terbang di negara tersebut dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan atau dimiliki sebahagian besarnya oleh Kerajaan tanpa  diberikan satu blok saham yang besar kepada syarikat asing.

“Jadi di mana rasionalnya keputusan menggadaikan blok 30 peratus saham MAHB ini? Kalau hendak dikatakan MAHB membebankan,  tentunya tidak. Untung MAHB pada tahun 2023 adalah RM543 juta  dengan tunai di tangan sebanyak RM1.845 billion,” kata Radzi dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Radzi berkata MAHB juga mempunyai pengalaman cukup panjang dan kedudukan kewangan baik, termasuk menguruskan Istanbul Sabiha Gökçen International Airport di Turkiye sekiranya hendak dikatakan MAHB tiada kepakaran.

Katanya, jika syarikat itu memerlukan kepakaran sekalipun, tidak bolehkah sekiranya ia diperolehi tanpa menggadaikan 30 peratus saham MAHB kepada syarikat asing.

Katanya, situasi itu jelas menunjukkan tiada keperluan mendesak untuk menjual blok 30 peratus saham MAHB kepada syarikat asing. 

“Siapa sebenarnya yang  akan mendapat manfaat dan mengaut keuntungan daripada urus  niaga ini?

“Apa yang paling mencurigakan dan tidak masuk akal adalah apabila Kerajaan sanggup mengambil risiko disumpah seranah oleh rakyat kerana dalam waktu dan ketika saudara kita di Palestin ditindas oleh Israel, Kerajaan menjual kepentingan dalam MAHB kepada GIP yang dimiliki oleh BlackRock yang dikatakan pro-Israel!

“Apakah terdapat faktor yang jauh lebih besar menyebabkan Kerajaan sanggup secara terbuka menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap apa yang berlaku di Palestin?,” katanya.

Radzi  berkata adalah jelas tiada keperluan mendesak bagi kerajaan menyah senaraikan MAHB untuk diberikan blok 30 peratus saham kepada syarikat asing. 

Justeru, beliau menggesa supaya Kerajaan, melalui  Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), membatalkan tawaran sukarela prasyarat yang dibuat Gateway Development Alliance (GDA).

Pada 15 Mei lalu, GDA dan pemegang sahamnya (Konsortium) mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki Konsortium berkenaan, pada harga tawaran RM11.00 bagi setiap saham yang bersamaan dengan RM18.4 billion.

Konsortium itu diterajui dua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Malaysia – Khazanah menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Berhad (UEMG), KWSP, anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan dana diuruskan Global Infrastructure Partners (GIP) salah satu pelabur infrastruktur terkemuka dunia dengan pengalaman memiliki dan menguruskan lapangan terbang.

Apabila tawaran itu selesai sepenuhnya, Khazanah dilaporkan akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2 peratus kepada 40 peratus, manakala KWSP daripada 7.9 peratus kepada 30 peratus.

Secara kolektif, pelabur Malaysia akan memiliki 70 peratus saham MAHB, manakala ADIA dan GIP akan memiliki baki 30 peratus. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending