Terkini
Harga sayur dijangka naik Ramadan, Aidilfitri
Peniaga sayur menjangkakan peningkatan harga barang makanan itu menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini.
- Berdasarkan pengalaman lebih tiga dekad mengusahakan kedai sayur, kenaikan harga berlaku berikutan pembekal mengambil keuntungan sempena musim perayaan. – Peniaga, Aziza Mahrmi Deen.
- “Memang begitulah dari dulu. Sekarang pun sikit-sikit harga dah naik, contohnya tomato sebelum ini antara RM5 ke RM6 kini mencecah RM10 ke RM12 sekilogram (kg).
- “Pelbagai alasan diberikan pembekal tetapi yang pastinya harga sayur akan naik setiap kali Ramadan dan Aidilfitri, ” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail di sini, hari ini.
- “Harga naik apabila permintaan tinggi menjelang musim perayaan. Apabila permintaan naik mendadak akan berlaku kekurangan bekalan, jadi pembekal naikkan harga mereka,” katanya. – Peniaga, Veggie Tan.
Kuala Lumpur: Peniaga sayur menjangkakan peningkatan harga barang makanan itu menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini.
Peniaga, Aziza Mahrmi Deen, 63, berdasarkan pengalaman lebih tiga dekad mengusahakan kedai sayur, kenaikan harga berlaku berikutan pembekal mengambil keuntungan sempena musim perayaan.
“Memang begitulah dari dulu. Sekarang pun sikit-sikit harga dah naik, contohnya tomato sebelum ini antara RM5 ke RM6 kini mencecah RM10 ke RM12 sekilogram (kg).
“Pelbagai alasan diberikan pembekal tetapi yang pastinya harga sayur akan naik setiap kali Ramadan dan Aidilfitri, ” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail di sini, hari ini.
Aziza berkata, sejak kebelakangan ini, banyak sayur yang mengalami kenaikan harga terutama tomato, timun dan serai.
Bagaimanapun katanya, jika kenaikan tidak terlalu mendadak dia akan mengekalkan sayur berkenaan pada harga asal untuk menjaga hati pelanggannya.
“Kalau harga naik sikit contoh macam serai satu ikat besar pembekal jual RM12 tapi sekarang RM15 jadi kami tak naikkan harga.
“Harga sayur ini dari dulu macam itu, sekejap naik sekejap turun. Tapi selalunya kalau sudah naik susah pula nak turun,” katanya.
Seorang lagi peniaga yang hanya ingin dikenali Veggie Tan, 50, juga sependapat dengan Aziza yang menjangkakan peningkatan harga komoditi itu menjelang musim perayaan.
Selain itu katanya, faktor utama kenaikan harga sayur ketika ini adalah berpunca dari cuaca buruk yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.
Menurutnya, banjir yang melanda beberapa daerah sebelum ini memusnahkan tanaman di beberapa negeri menyebabkan permintaan sayur di pasaran terutama sekitar Lembah Klang meningkat mendadak.
“Saya mula berniaga sejak tahun 1992. Sepanjang tempoh itu harga sayur ini memang akan sentiasa turun naik atas dua faktor utama permintaan dan cuaca.
“Harga naik apabila permintaan tinggi menjelang musim perayaan. Apabila permintaan naik mendadak akan berlaku kekurangan bekalan, jadi pembekal naikkan harga mereka,” katanya.
Tan berkata, kenaikan harga sayur tidak dapat dikawal melainkan kerajaan melakukan sesuatu untuk memperkasakan sektor pertanian bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi walaupun berlaku peningkatan permintaan secara mendadak.
Sumber: Harian Metro