Antarabangsa
Arab Saudi hadkan hanya sekali tunai umrah semasa Ramadan
Arab Saudi mengumumkan jemaah umrah tidak boleh mengerjakan ibadah itu lebih daripada sekali ketika Ramadan sebagai sebahagian usaha untuk mengelakkan kesesakan di Tanah Suci.

- Arab Saudi mengumumkan jemaah umrah tidak boleh mengerjakan ibadah itu lebih daripada sekali ketika Ramadan sebagai sebahagian usaha untuk mengelakkan kesesakan di Tanah Suci.
- Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata melalui had pelaksanaan umrah baharu itu kehadiran ramai jemaah, khususnya di Masjidil Haram di Makkah dapat ditangani.
- Selain bertujuan mengurangkan kesesakan, ia juga membolehkan akses yang adil kepada semua jemaah dan memastikan pengurusan lebih cekap ketika waktu puncak, lapor Berita Harian pada Rabu.
- Langkah itu akan diperkenalkan melalui portal khusus bagi prosedur ibadah umrah iaitu Nusuk yang akan mengeluarkan notifikasi mesej ralat kepada pengguna yang cuba memohon permit umrah untuk kali kedua.
KUALA LUMPUR — Arab Saudi mengumumkan jemaah umrah tidak boleh mengerjakan ibadah itu lebih daripada sekali ketika Ramadan sebagai sebahagian usaha untuk mengelakkan kesesakan di Tanah Suci.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata melalui had pelaksanaan umrah baharu itu kehadiran ramai jemaah, khususnya di Masjidil Haram di Makkah dapat ditangani.
Selain bertujuan mengurangkan kesesakan, ia juga membolehkan akses yang adil kepada semua jemaah dan memastikan pengurusan lebih cekap ketika waktu puncak, lapor Berita Harian pada Rabu.
Langkah itu akan diperkenalkan melalui portal khusus bagi prosedur ibadah umrah iaitu Nusuk yang akan mengeluarkan notifikasi mesej ralat kepada pengguna yang cuba memohon permit umrah untuk kali kedua.
Mesej itu menerangkan, permohonan mengerjakan umrah lebih daripada sekali ketika Ramadan adalah dilarang bagi memberi peluang kepada jemaah lain.
Ketika Ramadan, berlaku kebanjiran kehadiran umat Islam dari dalam dan luar Arab Saudi ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah dan solat.
Bagi menampung lonjakan jemaah, pihak berkuasa Arab Saudi menjalankan pelbagai langkah untuk memastikan setiap umat Islam memperoleh pengalaman ibadat yang lancar dan selesa.
Kawasan tertentu dalam masjid seperti dataran tawaf dan aras bawah dikhaskan untuk jemaah umrah.
Selain itu, beberapa pintu masuk masjid tertentu turut dikhususkan bagi keluar masuk jemaah, bertujuan mengelakkan kesesakan. — The Merdeka Times
