Connect with us

Terkini

Haramkan segera penayangan filem Mentega Terbang!

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil diminta mengambil tindakan tegas dengan mengharamkan penayangan filem Mentega Terbang dengan segera berikutan kandungannya didakwa memesongkan akidah.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Haramkan segera penayangan filem Mentega Terbang!
Foto: Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman (kiri), Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil (kanan).
  • Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil diminta ambil tindakan tegas dengan mengharamkan penayangan filem Mentega Terbang pada kadar segera berikutan kandungannya memesongkan akidah.
  • Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata isu hangat terkait filem itu bukanlah berkaitan dengan isu  kebebasan suara sebaliknya ia menyentuh akidah umat Islam.

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil diminta mengambil tindakan tegas dengan mengharamkan penayangan filem Mentega Terbang dengan segera berikutan kandungannya didakwa memesongkan akidah.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata isu hangat terkait filem itu bukanlah berkaitan isu kebebasan suara sebaliknya ia menyentuh akidah umat Islam.

Katanya, alangkah lebih baik sekiranya sumber dan tenaga kerajaan yang ada digunakan untuk memperbaiki kegagalan kerajaan mengawal produksi filem yang mempersoalkan Islam serta memesongkan akidah seperti filem tersebut.

“Saya harap pihak Kementerian Komunikasi dan Digital dapat mengambil tindakan tegas dengan mengharamkan filem tersebut secepat mungkin dan filem-filem seumpamanya di masa hadapan.

“Alangkah lebih baik jika sumber dan tenaga kerajaan digunakan untuk memperbaiki kegagalan kerajaan mengawal produksi filem-filem yang mempersoalkan Islam dan akidah serta memesongkan akidah seperti ini dan bukan (digunakan) untuk menyekat musuh politik.

“Jangan menggunakan kuasa dan tenaga yang ada untuk menyekat kebebasan bersuara dengan cara memberi amaran ataupun mengambil tindakan kepada aktivis media sosial  yang mempunyai pandangan berbeza,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

The Merdeka Times sebelum ini melaporkan, seorang penulis, Zabidi Mohamed mendakwa  filem Mentega Terbang yang mula ditayangkan di platform penstriman Viu pada Januari lalu, menghina, merendah-rendahkan, dan mempersendakan agama Islam secara terang-terangan (blasphemy).

Filem terbitan syarikat produksi Anomalist Production berkolaborasi dengan Meng Kheng Entertainment itu mendapat kritikan netizen yang khuatiri akan kandungannya yang dikatakan berisiko memesongkan akidah dan bersifat liberal. 

Ketua Penerangan PUTRA Malaysia, Mohamad Shahrulufti Mohamad Sharif dilaporkan berkata filem itu boleh memesong dan mencabar akidah umat Islam malah amat merbahaya bagi individu yang belum memahami ajaran Islam sepenuhnya.

Beliau telah membuat aduan kepada pihak polis pada 27 Februari 2023 (Isnin) jam 1 pagi di Balai Polis Dang Wangi dengan no. report 005631/23 mengenai Penerbitan dan Tayangan Filem Mentega Terbang.

Semakan The Merdeka Times mendapati filem kontroversi itu sudah dialih keluar dari platform terbabit. – The Merdeka Times

Author