Terkini
Enggan nasihat agama dalam kandungan kreatif suatu kenyataan bodoh – penulis
Semua kandungan kreatif, termasuk filem, yang melibatkan isu agama tidak boleh mengenepikan nasihat dari pakar agama.
- Penulis, Zabidi Mohamed berkata kandungan kreatif melibatkan isu agama tidak boleh mengenepikan nasihat dari pakar agama.
- Beliau mengulas kenyataan bersama ditandatangani 42 pihak menggesa Kerajaan Malaysia berhenti memburu filem kontroversi ‘Mentega Terbang’.
- “Bagi saya, statement tu bodoh lah. Katakan kalau saya nak buat filem perang, takkan saya nak minta nasihat penjual burger di tepi jalan?” kata Zabidi ketika membuat pembentangan dalam program ‘Wacana Dakwah Siri 1/2023 Mentega Terbang: Blasphemy Dalam Filem Indie’ di Panggung Seni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi di sini hari ini.
- Filem Mentega Terbang yang dihasilkan pada 2021 mencetuskan kontroversi sejak ia ditayangkan menerusi platform penstriman digital Viu pada 19 Januari lalu.
- Ia dikritik kerana kandungannya yang dilihat mempersenda agama dan bertentangan akidah, sebelum dialih keluar dari Viu pada 27 Februari lalu, di mana penolakan terhadap filem indie itu bukan hanya dalam kalangan umat Islam tetapi penganut agama lain.
BANGI – Semua kandungan kreatif, termasuk filem, yang melibatkan isu agama tidak boleh mengenepikan nasihat dari pakar agama.
Itu pendapat penulis, Zabidi Mohamed mengulas kenyataan bersama yang ditandatangani 42 individu dan pertubuhan menggesa Kerajaan Malaysia berhenti memburu filem kontroversi Mentega Terbang.
Pihak terbabit, melalui kenyataan bersama itu, turut menyifatkan tindakan memberi kuasa kepada penasihat agama ke atas kandungan kreatif bukanlah penyelesaian jangka panjang.
“Bagi saya, statement tu bodoh lah. Katakan kalau saya nak buat filem perang, takkan saya nak minta nasihat penjual burger di tepi jalan?” kata Zabidi ketika membuat pembentangan dalam program ‘Wacana Dakwah Siri 1/2023 Mentega Terbang: Blasphemy Dalam Filem Indie’ di Panggung Seni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi di sini hari ini.
Turut hadir sebagai panel program itu ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, Profesor Madya Dr Rosmawati Mohamad Rasit dan Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed, manakala moderator pula ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam UKM, Dr Khazri Osman.
Pada wacana itu, Zabidi turut berkongsikan dapatan kajian pascasiswazahnya yang sedang dijalankan di Universiti Utara Malaysia (UUM) bertajuk ‘Blasphemy dalam Sinema Malaysia’.
Menurutnya, terdapat empat filem tempatan yang mengandungi unsur blasphemy (mempersenda agama) sekurang-kurangnya satu babak sejak tahun 2012.
Dua daripadanya karya pengarah bukan Islam iaitu filem Lelaki Harapan Dunia (2014) dan Polis Evo 2 (2018), manakala dua lagi karya pengarah beragama Islam iaitu filem Spilt Gravy On Rice (2022) dan Mentega Terbang (2021).
Bagaimanapun, beliau tidak menunding jari sepenuhnya kepada Lembaga Penapis Filem (LPF) memandangkan unsur blasphemy itu masih baru dan belum wujud definisi termanya dalam kamus bahasa Melayu mahupun Indonesia.
“LPF pun sampai hari ini tak pernah dengar pun terma blasphemy, jadi saya tak boleh salahkan LPF. Sebab saya seorang sahaja yang guna terma ni di Malaysia ketika ini,” katanya.
Mengulas mengenai tuntutan saman fitnah oleh pasukan penerbitan filem Mentega Terbang terhadapnya, Zabidi tetap dengan pendiriannya untuk melawan saman itu memandangkan ini bukan kali pertama beliau menghadapi perkara serupa itu.
“Yang saman saya ni pangkat anak-anak saya. Jadi akhir nanti saya nak tengok apa kuasa anak-anak muda berdasarkan ‘kreativiti’ dan ‘freedom of speech’,” katanya.
Filem Mentega Terbang yang dihasilkan pada 2021 mencetuskan kontroversi sejak ia ditayangkan menerusi platform penstriman digital Viu pada 19 Januari lalu.
Ia dikritik kerana kandungannya yang dilihat mempersenda agama dan bertentangan akidah, sebelum dialih keluar dari Viu pada 27 Februari.
Penolakan terhadap tayangan filem indie itu bukan sahaja dari kalangan umat Islam, malah penganut agama lain juga menganggap kandungannya mampu menjejaskan nilai keaslian agama. – The Merdeka Times