Antarabangsa
Demam campak merebak dalam kalangan kanak-kanak Yaman
Demam campak yang membawa maut merebak dalam kalangan kanak-kanak di wilayah Hajjah, barat laut Yaman, demikian amaran dikeluarkan kumpulan bantuan perubatan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) pada Selasa.

- Demam campak merebak dalam kalangan kanak-kanak di wilayah Hajjah, barat laut Yaman.
- Demikian amaran dikeluarkan pada Selasa oleh kumpulan bantuan perubatan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF).
- Pengarah MSF, Christos Christou yang membuat penilaian langsung situasi kesihatan di sana memaklumkan terdapat jurang dalam rutin vaksinasi kanak-kanak di Hospital Abs di wilayah itu.
- Yaman kini dibelenggu krisis kemanusiaan paling teruk di dunia dengan jutaan berisiko mengalami kebuluran sejak pemberontak Houthi menawan sebahagian besar negara itu pada September 2014.
Demam campak yang membawa maut merebak dalam kalangan kanak-kanak di wilayah Hajjah, barat laut Yaman, demikian amaran dikeluarkan kumpulan bantuan perubatan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) pada Selasa.
Pengarah MSF, Christos Christou membuat ciapan di laman Twitter memaklumkan yang terdapat jurang dalam rutin vaksinasi kanak-kanak di Hospital Abs di wilayah itu.
Memetik laporan Middle East Monitor, dia tiba di Yaman beberapa hari lalu untuk membuat penilaian langsung mengenai situasi kemanusiaan dan kesihatan di Yaman.
“Saya melihat kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, yang mana ia boleh dicegah jika ibu mereka mempunyai akses perkhidmatan diperlukan untuk kehamilan yang sihat, jika mereka mempunyai akses kepada makanan yang betul dan perkhidmatan kesihatan yang tepat pada masanya,” katanya.
Kerajaan Yaman dan kumpulan berhaluan kanan menuduh pemberontak Houthi mengharamkan vaksin campak dan penyakit lain di kawasan kawalan mereka.
Houthi bagaimanapun tidak memberi sebarang komen mengenai tuduhan itu, tetapi pemberontak berkata masalah kekurangan ubat dan vaksin di kawasan mereka sangat teruk.
Yaman dilanda huru-hara dan keganasan sejak September 2014, apabila pemberontak Houthi menawan sebahagian besar negara itu, termasuk ibu negara, Sana’a.
Pakatan tentera diketuai Arab Saudi memasuki perang pada awal 2015 untuk memulihkan kuasa kerajaan.
Konflik selama lapan tahun itu mencipta salah satu krisis kemanusiaan yang paling teruk di dunia dengan jutaan orang berisiko mengalami kebuluran.
Sumber: Middle East Monitor
