Terkini
Pemandu mabuk menyebabkan kematian perlu dikenakan diyat – AJK Fatwa Kedah
Ahli Jawatankuasa Fatwa Kedah mencadangkan kerajaan mengenakan hukuman diyat ataupun bayaran ganti rugi kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian sebagai hukuman tambahan untuk hukuman sedia ada.
- Ahli Jawatankuasa Fatwa Kedah mencadangkan kerajaan mengenakan hukuman diyat ataupun bayaran ganti rugi kepada pemandu mabuk menyebabkan kematian sebagai hukuman tambahan untuk hukuman sedia ada.
- Dr. Mohd Hapiz Mahaiyadin, berkata ketika ini bayaran denda dikenakan ke atas pesalah akan diberikan kepada kerajaan bukan mangsa atau keluarga mangsa.
- “Mungkin pemandu mabuk ini tidak dikenakan qisas (nyawa dibalas nyawa) tapi dikenakan diyat iaitu bayar ganti rugi dengan bayaran bersamaan 100 ekor unta kepada mangsa.”
- Beliau harap pemandu mabuk menyebabkan kematian dijadikan kesalahan jenayah di bawah kanun keseksaan bukannya lagi kesalahan akta pengangkutan jalan.
KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Fatwa Kedah mencadangkan kerajaan mengenakan hukuman diyat ataupun bayaran ganti rugi kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian sebagai hukuman tambahan untuk hukuman sedia ada.
Dr. Mohd Hapiz Mahaiyadin, berkata, ketika ini bayaran denda dikenakan ke atas pesalah akan diberikan kepada kerajaan bukan mangsa atau keluarga mangsa.
“Mungkin pemandu mabuk ini tidak dikenakan qisas tapi dikenakan diyat iaitu membayar ganti rugi dengan bayaran bersamaan 100 ekor unta kepada mangsa.
“Macam mana nak bayar itu keluarga dialah kena sama-sama tanggung tolak dari insurans takaful ke terpulanglah yang penting kita rasa pembelaan perlu diberikan kepada mangsa,” katanya kepada The Merdeka Times, semalam.
Beliau juga mengharapkan pemandu mabuk menyebabkan kematian dijadikan kesalahan jenayah di bawah kanun keseksaan bukannya lagi kesalahan akta pengangkutan jalan.
Ini berikutan, hanya perbicaraan melalui kesalahan di bawah kanun keseksaan yang boleh memperuntukkan hukuman mati ataupun penjara seumur hidup.
The Merdeka Times sebelum ini melaporkan netizen menuntut hukuman ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian dikenakan hukuman berat seperti nyawa dibayar dengan nyawa dan sebatan.
Menurut mereka, hukuman sedia ada yang dikenakan ke atas pemandu mabuk adalah ringan dan langsung tidak menakutkan terutama melibatkan kes kematian mangsa tidak bersalah.– The Merdeka Times.