Connect with us

Terkini

Menu Rahmah lebih jimat dari masak sendiri

Kos membeli bahan mentah untuk menyediakan hidangan lebih tinggi daripada harga makanan ditetapkan melalui program Menu Rahmah.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Menu Rahmah lebih jimat dari masak sendiri
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Seorang suri rumah, Noraini Ibrahim, 52, dari Kampung Batu Burok, akui terpaksa keluarkan perbelanjaan antara RM15 dan RM28 sehari untuk beli ikan atau ayam mentah bagi siapkan hidangan keluarga sehari. 
  • “Saya mampu jimatkan kos antara RM7 dan RM15 sehari beli makanan tengah hari untuk ahli keluarga dengan lauk berlainan setiap hari,” katanya
  • Seorang pesara kerajaan, Fadil Abd Manaf, 65, berkata harga makan tengah hari dan makan malam jika makan dan minum di restoran nasi berlaukkan seekor ikan goreng serta sayur, tidak termasuk minuman antara RM7 dan RM9, bergantung pada saiz ikan.” 
  • “Sejak Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kenalkan Menu Rahmah akhir bulan lalu, saya mampu jimatkan perbelanjaan antara RM5 dan RM7 sehari.

KUALA TERENGGANU: Kos membeli bahan mentah untuk menyediakan hidangan lebih tinggi daripada harga makanan ditetapkan melalui program Menu Rahmah.

Tinjauan ke pasar raya besar Mydin di sini, mendapati harga sarapan pagi termasuk nasi goreng, mee goreng, bihun goreng, nasi lemak dan sebiji telur goreng mata lembu berserta air mineral dijual pada harga RM2.50.

Harga makan tengah hari iaitu nasi putih, kangkung goreng ikan masin, ikan kembung goreng kicap dan sebotol air mineral dijual pada kadar RM4.90 sebungkus.

Seorang suri rumah, Noraini Ibrahim, 52, dari Kampung Batu Burok, di sini, mengakui terpaksa mengeluarkan perbelanjaan antara RM15 dan RM28 sehari untuk membeli ikan atau ayam mentah bagi menyiapkan hidangan untuk keluarga sehari.

Katanya, perbelanjaan itu tidak termasuk kos untuk membeli sayur dan bahan mentah lain.

“Melalui program Menu Rahmah, saya hanya mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM24.90 membeli lima bungkus nasi untuk hidangan tengah hari.

“Saya mampu menjimatkan kos antara RM7 dan RM15 sehari membeli makanan tengah hari untuk ahli keluarga dengan lauk berlainan setiap hari,” katanya yang mengambil masa kira-kira 15 minit beratur bagi membeli lima bungkus nasi pada program menu Rahmah, di sini, hari ini.

Seorang pesara kerajaan, Fadil Abd Manaf, 65, mengakui dapat menjimatkan makan tengah hari dan malam antara RM5 dan RM7 sehari.

Katanya, harga makan tengah hari dan makan malam jika makan dan minum di restoran nasi berlaukkan seekor ikan goreng serta sayur, tidak termasuk minuman dikenakan antara RM7 dan RM9, bergantung kepada saiz ikan.

“Sejak Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan Menu Rahmah akhir bulan lalu, saya mampu menjimatkan perbelanjaan antara RM5 dan RM7 sehari.

“Saya juga tidak melepaskan peluang menikmati sarapan melalui program Menu Rahmah apabila pelbagai jenis menu hanya dijual dengan harga RM2.50 termasuk air mineral,” katanya.

Fadil berkata, lauk berlainan disediakan setiap hari menyebabkan Menu Rahmah semakin mendapat sambutan masyarakat.

Justeru, itu, Fadil mencadangkan KPDN memperluaskan program Menu Rahmah di beberapa restoran serta kedai makan yang menjadi tumpuan orang ramai.

Sementara itu, pengurus Pasaraya Besar Mydin Kuala Terengganu, Suzana Romeli, berkata pihaknya menyediakan lauk yang berlainan setiap hari, tetapi harga hidangan itu ditetapkan pada kadar RM4.90 sebungkus.

Katanya, sejak pengurusan tertinggi Mydin memperkenalkan Menu Rahmah bagi membantu mengurangkan kos rakyat akhir bulan lalu, pihaknya melantik lima dan enam pekerja untuk memasak hidangan.

“Sambutan masyarakat sangat baik terutama makan tengah hari dan malam hingga kita terpaksa memasak lima hingga tujuh kali sehari,” katanya.

Sumber: Berita Harian

 

Author