Terkini
Kenaikan sewa kedai, barang keperluan asas punca makanan di restoran mahal – Presma
Persatuan Presma memberitahu tiada harga makanan di restoran diturunkan buat masa ini susulan kenaikan kos yang perlu ditanggung pengusaha.
- “Menteri perlu lebih prihatin untuk bantu golongan peniaga restoran dapatkan bekalan harga yang berpatutan dan rendah dengan berbincang dengan pembekal serta pemborong bagi atasi masalah tersebut”. – Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan
- “Restoran yang berdaftar dengan persatuan itu masih kekalkan konsep beri makanan yang bersih, sedap dan harga berpatutan terutama pada golongan B40 dan M40.”
- “Jadilah pelanggan bijak di mana kalau kita rasa restoran itu menjual pada harga mahal, maka pelanggan boleh pilih sama ada makan di situ atau pergi ke restoran lain yang tawarkan harga lebih murah,” katanya.
SHAH ALAM – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) memberitahu tiada harga makanan di restoran diturunkan buat masa ini susulan kenaikan kos yang perlu ditanggung pengusaha antaranya kenaikan sewa dan barang keperluan asas.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, tiada ruang untuk peniaga menurunkan harga kerana kenaikan itu adalah mengikut peningkatan kos operasi semasa seperti kenaikan sewa kedai, barang keperluan asas dan bahan mentah.
“Sebenarnya tak ada harga barangan yang turun, sebagai contoh telur, ayam dan sayuran yang masih kekal dengan harganya yang naik selepas pandemik,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ujarnya, kerajaan perlu membantu pemilik restoran dan kedai makan bagi mendapatkan bahan mentah dengan harga yang lebih murah.
“Menteri perlu lebih prihatin untuk bantu golongan peniaga restoran untuk dapatkan bekalan harga yang berpatutan dan rendah dengan berbincang dengan pembekal serta pemborong bagi mengatasi masalah tersebut,” jelas beliau.
Bagaimanapun, beliau berkata restoran yang berdaftar dengan persatuan itu masih mengekalkan konsep memberi makanan yang bersih, sedap dan harga berpatutan terutama kepada golongan B40 dan M40.
Dalam pada itu, Jawahar menyerahkan kepada pengguna untuk membuat pilihan sama ada mahu mengunjungi restoran dan kedai makan yang menjual pada harga tinggi.
Kata beliau, pelanggan mempunyai hak untuk memilih restoran yang menawarkan harga lebih murah dengan membuat perbandingan harga.
“Sebenarnya pelanggan ada hak untuk mengelak daripada mengunjungi premis yang gagal menurunkan harga.
“Jadilah pelanggan yang bijak di mana kalau kita rasa restoran itu menjual pada harga mahal, maka pelanggan boleh memilih sama ada makan di situ atau pergi ke restoran lain yang menawarkan harga lebih murah,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Antarabangsa
Israel bom depot senjata berdekatan pangkalan udara Russia di Syria
Letupan besar dan kebakaran berdekatan lapangan terbang dan pangkalan udara di Syria dilaporkan hari ini dengan Syriawatan News mendakwa sebuah gudang penyimpanan senjata diserang.
- Letupan besar dan kebakaran berdekatan lapangan terbang dan pangkalan udara di Syria dilaporkan hari ini dengan Syriawatan News mendakwa sebuah gudang penyimpanan senjata diserang.
- Insiden itu berlaku berhampiran Pangkalan Udara Khmeimim Russia dan Lapangan Terbang Bassel al-Assad di Jableh, Syria.
- Terdapat dakwaan bahawa pesawat Russia terlibat dalam usaha memintas peluru berpandu di kawasan itu.
- Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Pertahanan udara Russia dan Syria memintas peluru berpandu selama sekurang-kurangnya 40 minit di Latakia, lapor Sky News Arabia.
Letupan besar dan kebakaran berdekatan lapangan terbang dan pangkalan udara di Syria dilaporkan hari ini dengan Syriawatan News mendakwa sebuah gudang penyimpanan senjata diserang.
Insiden itu berlaku berhampiran Pangkalan Udara Khmeimim Russia dan Lapangan Terbang Bassel al-Assad di Jableh, Syria.
Terdapat dakwaan bahawa pesawat Russia terlibat dalam usaha memintas peluru berpandu di kawasan itu.
Pertahanan udara Russia dan Syria dilaporkan memintas peluru berpandu selama sekurang-kurangnya 40 minit.
Terdapat dakwaan bahawa pertahanan udara memintas peluru berpandu di luar pantai Jableh, sebuah bandar di barat laut Syria, dengan anggaran 30 peluru berpandu dilancarkan.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Pertahanan udara Russia dan Syria memintas peluru berpandu selama sekurang-kurangnya 40 minit di Latakia, lapor Sky News Arabia.
Laporan tempatan lain mencadangkan sebuah pesawat Iran di lapangan terbang mungkin turut menjadi sasaran.
Israel yang sering menjalankan operasi terhadap sasaran berkaitan dengan Iran di Syria belum memberikan sebarang komen mengenai insiden letupan itu. — The Merdeka Times