Ekonomi
Miskin tegar KL: Bina lebih banyak rumah mampu milik
KUALA LUMPUR — Isu miskin tegar di Kuala Lumpur dapat dibasmi sekiranya kumpulan isi rumah B40 dan M40 dikembalikan semula untuk menetap di bandar tanpa mereka perlu berpindah ke luar bandar mahupun ke negeri berhampiran.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata antara solusi supaya kelompok itu kembali berhijrah ke Kuala Lumpur adalah dengan mewujudkan skim dan program perumahan mampu milik dan dibeli tanpa sebarang kekangan berat.
Ahmed Razman berkata konflik miskin tegar berpunca daripada golongan berkenaan yang kebanyakan daripada mereka mengamalkan trend berulang alik luar dari Kuala Lumpur.
Katanya, kekangan harga rumah di sekitar ibu negara yang kian melambung tinggi mendorong golongan B40 dan M4 untuk membeli rumah luar dari lokaliti di Kuala Lumpur.
“B40, M40 terpaksa ulang alik keluar sebelum cerah, balik dalam gelap… Itu fokus yang seharusnya kerajaan laksanakan, untuk kembalikan rumah mampu milik,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
Beliau mengulas isu miskin tegar di negara ini selepas data sistem e-Kasih menunjukkan Kuala Lumpur memiliki bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar paling ramai iaitu 474 orang diikuti negeri Kedah yang mempunyai jumlah kedua tertinggi (341), Sabah (289) dan Johor (275).
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata penduduk di Kuala Lumpur sememangnya tidak mampu mendepani kualiti gaya hidup dengan kos hidup semakin melambung dari hari ke hari. — The Merdeka Times