Antarabangsa
Kerja seks bukan lagi jenayah di Afrika Selatan
Afrika Selatan pada Jumaat lalu berkata kerja seks tidak lagi menjadi kesalahan undang-undang di negara itu.
- Afrika Selatan pada Jumaat lalu berkata kerja seks tidak lagi jadi kesalahan undang-undang di negara itu.
- Keputusan itu dibuat dengan harapan tangani tahap jenayah tinggi terhadap wanita di negara yang punyai kes HIV tertinggi di dunia itu.
- “Adalah diharapkan bahawa langkah ini akan meminimumkan pencabulan hak asasi manusia terhadap pekerja seks.”
- “Ia juga bermakna akses lebih baik pada penjagaan kesihatan dan berikan perlindungan lebih baik untuk pekerja seks, keadaan kerja lebih baik serta kurang diskriminasi dan stigma,” – Menteri Kehakiman, Ronald Lamola
- “Dengan pekerja seks tidak lagi dilabelkan sebagai penjenayah, mereka boleh bekerja lebih baik dengan polis untuk menangani keganasan,” kata kumpulan hak pekerja seks SWEAT
JOHANNESBURG: Afrika Selatan pada Jumaat lalu berkata kerja seks tidak lagi menjadi kesalahan undang-undang di negara itu.
Keputusan itu dibuat dengan harapan dapat menangani tahap jenayah yang tinggi terhadap wanita di negara yang mempunyai kes HIV tertinggi di dunia itu.
Jual beli perkhidmatan seksual tidak lagi dianggap sebagai jenayah di bawah cadangan perundangan yang dikemukakan oleh Kementerian Kehakiman.
Menurut kumpulan advokasi, terdapat lebih 150,000 pekerja seks di negara itu.
“Adalah diharapkan bahawa langkah ini akan meminimumkan pencabulan hak asasi manusia terhadap pekerja seks,” kata Menteri Kehakiman, Ronald Lamola, pada taklimat media.
“Ia juga bermakna akses yang lebih baik kepada penjagaan kesihatan dan memberikan perlindungan lebih baik untuk pekerja seks, keadaan kerja yang lebih baik serta kurang diskriminasi dan stigma,” katanya.
Afrika Selatan dilanda gelombang keganasan yang semakin meningkat terhadap wanita.
Menteri Polis, Bheki Cele, melaporkan peningkatan dua angka dalam pembunuhan wanita tahun ke tahun antara Julai dan September dengan hampir 1,000 wanita terbunuh.
Kes rogol juga meningkat 11 peratus dengan 10,000 kes dalam tempoh itu, katanya.
“Dengan pekerja seks tidak lagi dilabelkan sebagai penjenayah, mereka boleh bekerja lebih baik dengan polis untuk menangani keganasan,” kata kumpulan hak pekerja seks SWEAT di Facebook, mengalu-alukan rang undang-undang itu sebagai ‘berita luar biasa’.
Beberapa kes mengerikan baru-baru ini mengejutkan seluruh negara, termasuk penemuan berbelas mayat di sebuah bangunan di Johannesburg pada Oktober, ada di antaranya dipercayai pekerja seks yang dilaporkan hilang.
Perlembagaan pasca-apartheid Afrika Selatan adalah antara yang paling liberal di dunia, membenarkan undang-undang progresif mengenai pengguguran dan perkahwinan sejenis, tetapi kerja seks sudah lama kekal sebagai isu yang sering menimbulkan perbalahan.
Parlimen perlu meluluskan perundangan yang dicadangkan untuk dijadikan undang-undang, prosedur yang mungkin mengambil masa beberapa bulan. – AFP
Sumber: Berita Harian