Connect with us

Terkini

Pilihlah pemimpin yang jaga maqasid syariah

Umat Islam wajib memilih pemimpin yang boleh menjaga lima asas agama atau maqasid syariah dalam tadbir urus negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Wartawan TMT

Published

on

Pilihlah pemimpin yang jaga maqasid syariah
Foto: Dari kiri, Ismail Sabri,Muhyiddin Yassin, Anwar Ibrahim, Mahathir Mohamad
  • Umat Islam wajib pilih pemimpin yang boleh jaga lima asas agama atau maqasid syariah dalam tadbir urus negara pada PRU15.
  • Ketua Pusat Pengajian Syariah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Ahmad Faizol Ismail berkata, para ulama sepakat pilih pemimpin yang boleh jaga kemaslahatan umat Islam.
  • Lima pembahagian maqasid syariah melibatkan menjaga agama (Islam), menjaga nyawa, menjaga keturunan dan maruah, menjaga akal dan menjaga harta.
  • Mengundi itu fardu ain ataupun wajib kepada kita secara individu.
  • Katanya, instrumen itu digunakan dalam sistem demokrasi moden untuk memilih pemimpin-pemimpin yang akan mewakili rakyat untuk mengurus negara.

 

KUALA TERENGGANU – Umat Islam wajib memilih pemimpin yang boleh menjaga lima asas agama atau maqasid syariah dalam tadbir urus negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pusat Pengajian Syariah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Ahmad Faizol Ismail berkata, para ulama sepakat bahawa memilih pemimpin yang boleh menjaga kemaslahatan umat Islam adalah kewajipan bagi setiap individu.

Jelas beliau, lima pembahagian maqasid syariah melibatkan menjaga agama (Islam), menjaga nyawa, menjaga keturunan dan maruah, menjaga akal dan menjaga harta.

“Umat Islam wajib memastikan kerajaan yang akan memerintah atau pemimpin yang akan dipilih boleh menjaga kelima-lima perkara ini.

“Ini yang diajar oleh Islam. Kalaulah kata kita tidak mengambil tanggungjawab mengundi, dikhuatiri pemimpin yang dipilih itu nanti tidak tahu untuk menjaga lima asas dalam maqasid syariah ini.

“Jika itu yang berlaku, kita selaku umat Islam perlu bertanggungjawab dengan erti kata lain menanggung dosa. Sebab itulah mengundi itu fardu ain ataupun wajib kepada kita secara individu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ahmad Faizol memberitahu, menurut pandangan Islam, keluar mengundi bagi memilih pemimpin adalah kewajipan kerana ia (mengundi) merupakan instrumen atau alat untuk memilih pemimpin.

Katanya, instrumen itu digunakan dalam sistem demokrasi moden untuk memilih pemimpin-pemimpin yang akan mewakili rakyat untuk mengurus negara.

“Menurut Imam al-Mawardi di dalam kitab Al-Ahkam As-Sultaniyyah, memilih pemimpin adalah kewajipan secara ijmak.

“Berdasarkan kitab Fekah yang bermaksud, jika satu kewajipan itu tidak sempurna melainkan dengan adanya satu perkara yang lain ataupun dengan satu alat, maka alat atau perkara lain itu juga wajib.

“Dalam konteks ini, mengundi merupakan instrumen untuk memilih pemimpin. Sekiranya mengundi itu boleh membantu umat Islam melaksanakan kewajipan mereka memilih pemimpin, maka hukum keluar mengundi adalah wajib,” ujar beliau.

 

Sumber: Sinar Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending