Terkini
PH taja kumpulan Yahudi, Kristian ambil alih Malaysia – Muhyiddin
Calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendakwa Pakatan Harapan (PH) menaja kumpulan Yahudi dan Kristian yang cuba mengambil alih Malaysia.
- Muhyiddin Yassin mendakwa PH menaja kumpulan Yahudi dan Kristian yang cuba mengambil alih Malaysia
- “Ada sekumpulan Yahudi dan Kristian yang merancang untuk mengambil-alih Malaysia menerusi proksi mereka Pakatan Harapan (PH),” katanya.
- Tambah Muhyiddin, sebilangan orang Melayu yang memeluk agama Kristian pergi ke gereja hari Ahad di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
- Sementara itu, CCM menggesa pihak berkuasa agar bertindak bagi mengelakkan kenyataan seperti Muhyiddin berulang.
- “Kita hidup dalam negara berbilang agama dan kaum dan sensitiviti setiap masyarakat perlu diambil kira ketika berucap di forum awam,” kata setiausaha agung CCM Jonathan Jesudas.
Calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendakwa Pakatan Harapan (PH) menaja kumpulan Yahudi dan Kristian yang cuba mengambil alih Malaysia.
Muhyiddin membuat dakwaan itu semasa majlis Ceramah Mega PN Best di Parit Jawa, Johor pada Rabu, 16 Nov.
Dia adalah penceramah terakhir pada malam itu, selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Menurut Muhyiddin, ada sekumpulan Yahudi dan Kristian yang merancang untuk mengambil-alih Malaysia menerusi proksi mereka Pakatan Harapan (PH).
“Bagi saya ini bahaya. Apakah bermakna akan berlaku proses Kristianisasi? Kita dah dengar cerita ini bukan?
“Di Kuala Lumpur dan di Petaling Jaya, kalau ada gereja hari Ahad, ada juga orang-orang Melayu pergi sana. Rupanya dah masuk Kristian.
“Itu saya tak fikir berkembang dengan pesat sebab sebahagian besar kita adalah orang Islam. Tetapi agenda puak-puak dan kaum-kaum seperti ini adalah niat mereka adalah untuk mengambil alih Malaysia satu daripada koloni dia.
“Itu adalah strategi jangka waktu panjang. Mungkin kita tidak lihat ini pada waktu ini tetapi mungkin tidak berapa lama lagi kalau kita tidak berhati-hati dan berjaga-jaga,” katanya.
Klip video Muhyiddin membuat dakwaan tersebut telah dikongsi oleh pengguna Tiktok @phan.fizs semalam dan ditonton sekurang-kurangnya 605,800 kali.
Video lengkap majlis tersebut dimuat naik di laman Facebook Perikatan Nasional Johor.
Sementara itu, Majlis Gereja-gereja Malaysia (CCM) telah menyatakan rasa “terkejut” terhadap dakwaan Muhyiddin itu.
Mereka juga menggesa pihak berkuasa supaya bertindak bagi mengelakkan kenyataan seperti itu berulang.
“Kenyataan ini bukan sahaja tidak benar tetapi tidak bertanggungjawab oleh seorang ahli politik sepertinya untuk membuat kenyataan sedemikian kepada orang ramai dan ditonton secara meluas di media sosial.
“Kita hidup dalam negara berbilang agama dan kaum dan sensitiviti setiap masyarakat perlu diambil kira ketika berucap di forum awam.
“Kenyataan sedemikian, yang dilafazkan secara sembarangan, mempunyai kecenderungan untuk menimbulkan ketegangan dan persengketaan kaum dan agama,” kata setiausaha agung CCM Jonathan Jesudas.
Sumber: Malaysiakini