Connect with us

Terkini

Pergolakan dalaman sebabkan ketirisan sokongan pengundi – Prof Sivamurugan

Pergolakan dalaman yang dihadapi sesebuah parti akan memberi impak ketirisan sokongan daripada pengundi.

Wartawan TMT

Published

on

Pergolakan dalaman sebabkan ketirisan sokongan pengundi - Prof Sivamurugan
Foto: Prof Sivamurugan.
  • Pergolakan dalaman yang dihadapi sesebuah parti akan memberi impak ketirisan sokongan daripada pengundi, kata penganalisis politik dari USM, Profesor Dr Sivamurugan Pandian.
  • Keadaan itu juga boleh menjejaskan kepercayaan pengundi terhadap parti terbabit, termasuk parti baharu seperti Parti Bangsa Malaysia (PBM).
  • “Memang mana-mana parti politik yang berhadapan dengan krisis boleh menjejaskan atau membawa kepada ketirisan sokongan,” kata Sivamurugan.

SHAH ALAM – Pergolakan dalaman yang dihadapi sesebuah parti akan memberi impak ketirisan sokongan daripada pengundi.

Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, keadaan itu juga boleh menjejaskan kepercayaan pengundi terhadap parti tersebut.

“Memang mana-mana parti politik yang berhadapan dengan krisis boleh menjejaskan atau membawa kepada ketirisan sokongan.

“Apatah lagi melibatkan parti baharu contohnya Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang kini bergelut dengan seorang kepimpinan atasan.

“Jadi isu itu walaupun telah diprinsipkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) namun ia masih berterusan dan impaknya kepada mereka yang mencari alternatif kepada pilihan parti lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Sivamurugan, krisis itu perlu diselesaikan segera agar tidak menimbulkan impak negatif kepada undian terhadap parti.

“Mana-mana parti yang sedang berhadapan dengan krisis dalaman perlu menyelesaikan segera supaya tidak menimbulkan impak kepada sokongan ataupun undi protes yang boleh dilakukan penyokong mereka,” ujarnya.

Sebelum ini, penyandang Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin bersama 12 Ahli Majlis Tertinggi PBM digantung keahlian oleh Larry Sng kerana pembabitan berterusan mereka yang didapati menggugat kepentingan parti dan kepimpinannya.

Krisis dalaman PBM mula meruncing apabila Larry Sng minggu lalu mendakwa, beliau masih Presiden PBM dan tidak pernah mengosongkan jawatan itu untuk diisi oleh Zuraida.

Zuraida pula pada Ahad memaklumkan, segala kemelut parti berkenaan akan diselesaikan secara dalaman dan dijangka mencapai kata sepakat menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 5 November ini.

Tindakan tegas parti singkir pemimpin tidak sehaluan

Sementara itu, tindakan parti menyingkirkan pemimpin yang tidak sehaluan adalah satu hukuman tegas dan perkara biasa dilakukan oleh setiap parti.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan pemimpin mengutamakan kepentingan parti berbanding kepentingan sendiri.

“Ini merupakan satu mesej jelas tindakan tegas bagi sesebuah parti politik memastikan semua pemimpin dan calon yang dipilih tersebut adalah individu berdisiplin dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan diri.

“Ia perkara yang akan dilakukan oleh mana-mana parti politik baik Perikatan Nasional (PN), BN atau Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beberapa parti dilihat mula mengambil tindakan menyingkirkan pemimpin dan calon yang tidak sehaluan dengan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengulas mengenai tindakan penyingkiran tersebut, Awang Azman tidak menolak kemungkinan ia akan memberikan kesan kepada parti kerana menyingkirkan pemimpin yang berkemungkinan mempunyai pengaruh besar di sesebuah kawasan.

Namun, beliau berkata, kesan yang akan berlaku itu hanya kecil dan mekanisme jentera parti perlu bagi memastikan tiada undi protes besar berlaku di kawasan tersebut.

“Pemimpin tersingkir itu mungkin akan beri kesan kepada parti kerana mengambil kira pengaruh tertentu di sesebuah kawasan. Pengaruh tertentu itu merujuk kepada ketika beliau berkuasa dan mempunyai parti yang kukuh.

“Namun, apabila tanpa parti dan hanya berdasarkan atas nama calon bebas, maka sukar untuk dia bergerak kerana tidak ada jentera.

“Jadi, walaupun akan berlaku undi protes, ia lebih merugikan calon Bebas,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending