Terkini
UMNO, Pas muafakat di Permatang Pauh
Meskipun kerjasama antara UMNO dan Pas dalam gagasan Muafakat Nasional (MN) masih belum mencapai sebarang kata putus, namun itu tidak menjadi penghalang bagi akar umbi kedua-dua parti terus bersatu.
- UMNO & Pas telah sepakat untuk menggerakkan MN Parlimen Permatang Pauh dengan matlamat meletakkan calon satu lawan satu untuk semua kerusi pada PRU15 nanti.
- Kedua-dua parti ini berjanji untuk tidak bersengketa sekiranya berlaku pertembungan.
- Kedua-duanya sama-sama berhasrat untuk menumbangkan PH di Permatang Pauh.
PERMATANG PAUH – Meskipun kerjasama antara UMNO dan Pas dalam gagasan Muafakat Nasional (MN) masih belum mencapai sebarang kata putus, namun itu tidak menjadi penghalang bagi akar umbi kedua-dua parti terus bersatu.
Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, UMNO dan Pas telah sepakat untuk menggerakkan MN Parlimen Permatang Pauh dengan matlamat meletakkan calon satu lawan satu untuk semua kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Bagaimanapun, Mohd Zaidi berkata, pihaknya akur dengan sebarang keputusan mengenai hala tuju parti masing-masing termasuk dalam soal calon atau pertembungan pada PRU15.
“Sekiranya ia berlaku (pertembungan), kami berjanji tidak akan menanam permusuhan, mencipta fitnah atau saling menghina keperibadian mana-mana calon atau individu dalam kempen.
“Matlamat kami sama iaitu memastikan Pakatan Harapan (PH) tumbang di Permatang Pauh dalam PRU15 dengan apa cara sekali pun kerana kami mahu Permatang Pauh berubah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
Mohd Zaidi pada Selasa memuat naik gambarnya sedang menikmati hidangan makan malam bersama
Yang Dipertua Pas Bahagian Permatang Pauh, Omar Hasan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada Isnin.
Dalam hantarannya di laman Facebook itu, Mohd Zaidi menulis dengan tajuk muafakat.
“PKR terlalu kuat di Permatang Pauh, Ini kubu mereka, tak mungkin sesiapa boleh tumbangkan…Kami hanya ingin melihat Permatang Pauh Berubah’.
“Moga Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke sini, Kami menunggu!” tulisnya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi Parlimen Permatang Pauh dimenangi oleh Nurul Izzah Anwar dari PH dengan majoriti 15,668 sekali gus menewaskan calon BN yang ditandingi oleh Mohd Zaidi yang mendapat 19,866 undi dan calon Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mendapat 14,428 undi.
Sumber: Sinar Harian