Connect with us

Terkini

Tiga TPM lebih jimat berbanding empat menteri kanan

Jaminan melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung bagi mengisi tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), yang diumumkan Barisan Nasional (BN), semalam, bukanlah pembaziran, sebaliknya langkah penjimatan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Tiga TPM lebih jimat berbanding empat menteri kanan
Foto: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
  • Jaminan melantik wakil Sabah, Sarawak dan Semenanjung bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bukan pembaziran sebaliknya langkah penjimatan.
  • Tiga TPM lebih baik berbanding membayar gaji empat Menteri Kanan dipraktikkan kerajaan campuran ketika ini.
  • “Jawatan empat Menteri Kanan yang ditiadakan itu adalah pilihan terbaik, apatah lagi alternatifnya adalah tiga TPM,” – Ahmad Maslan

PONTIAN – Jaminan melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung bagi mengisi tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), yang diumumkan Barisan Nasional (BN), semalam, bukanlah pembaziran, sebaliknya langkah penjimatan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata jawatan tiga TPM itu adalah lebih baik berbanding membayar gaji dan elaun kepada empat Menteri Kanan, yang dipraktikkan kerajaan campuran ketika ini.

“Langkah melantik tiga wakil TPM bukanlah pembaziran, ia sebenarnya lebih menjimatkan.

“Kita boleh hentikan jawatan empat Menteri Kanan sebelum ini untuk digantikan dengan tiga TPM. Sudah pasti empat Menteri Kanan lebih besar peruntukan gaji dan elaun mereka berbanding tiga TPM.

“Jadi bagi saya, jawatan empat Menteri Kanan yang ditiadakan itu adalah pilihan terbaik, apatah lagi alternatifnya adalah tiga TPM.

“Sudah pasti tiga TPM itu dikhususkan tugasan mereka bagi masing-masing membantu Perdana Menteri di Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Ketua MIC Bahagian Pontian, Ajit Johl, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jaminan melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung, mengisi jawatan TPM itu akan dimasukkan dalam manifesto BN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, jawatan tiga TPM itu akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU15 nanti.

Sementara itu, jawatan empat Menteri Kanan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 27 Ogos tahun lalu.

Ia merujuk kepada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata, jaminan melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung mengisi jawatan TPM, adalah ‘game changer’ untuk BN menghadapi PRU15.

Katanya, kejutan yang diumumkan Ahmad Zahid itu sudah pasti akan menjadikan tawaran manisfeto gabungan itu lebih menarik dan istimewa.

“UMNO amat gembira dengan tawaran manifesto berhubung tiga TPM membabitkan wakil Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Ia adalah ‘game changer’ bagi BN menghadapi PRU15 berbanding tawaran parti lain.

“Selama ini, wakil Sabah dan Sarawak tidak pernah diberi peluang, sama ada menjadi TPM, apatah lagi Perdana Menteri.

“Sebenarnya, tawaran manifesto berhubung tiga TPM itu sudah lama dibincangkan, namun baru diumumkan. Ia sudah pasti menggembirakan pengundi di Sabah dan Sarawak dan menjadikan manifesto BN lebih menarik dan inklusif berbanding gabungan lain,” katanya.

Sumber: Berita Harian 

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *