Connect with us

Terkini

PRU15: UMNO, PAS kembali bertaut?

UMNO tidak menolak kemungkinan akan menjalin kerjasama dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Wartawan TMT

Published

on

PRU15: UMNO, PAS kembali bertaut?
Foto: Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  • Keputusan dimuktamadkan menjelang PRU15 selepas Parlimen dibubarkan.
  • Lima kepimpinan tertinggi UMNO akan adakan rundingan semula bersama Presiden Pas bagi capai kata sepakat bawah gagasan Muafakat Nasional (MN).
  • “Masa menentukan apa yang akan berlaku pada gagasan MN walaupun sebelum ini kedua-dua parti berkenaan dilihat ‘berperang mulut’ antara satu sama lain.” – Naib Presiden UMNO
  • “Sekiranya rundingan terbaharu gagal mencapai kesepakatan, UMNO hanya mempunyai dua pilihan.
  • “Dalam PRU ada dua saja, sama ada BN pergi secara solo atau atas permuafakatan yang disebut Muafakat Nasional.”

KUALA NERANG – UMNO tidak menolak kemungkinan akan menjalin kerjasama dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagaimanapun keputusan muktamad berhubung kerjasama itu hanya akan dimuktamadkan menjelang PRU15 selepas Parlimen dibubarkan.

Menurutnya, sehubungan itu lima kepimpinan tertinggi UMNO (Top 5) akan mengadakan rundingan semula bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi mencapai kata sepakat bawah gagasan Muafakat Nasional (MN).

“Apa yang akan diputuskan untuk menghadapi pilihan raya ini adalah untuk kebaikan bersama.

“Justifikasi daripada apa perkara yang berlaku di sekeliling itu diambil kira untuk kita justify kepada apa benda yang nak diputuskan, sudah tentulah mengambil semua percaturan politik semasa,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Ketua Komunikasi BN Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, UMNO berkemungkinan akan meneruskan kerjasama dengan Pas dalam PRU15 selepas diminta mengulas sejurus perjumpaan khas bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Sebelum itu, Ahmad Zahid seolah memberi bayangan akan wujud sinar baharu dalam gagasan MN setelah parti itu berkali-kali tegaskan mahu bergerak solo pada PRU15.

Namun dalam satu kenyataan pada Ahad, Ahmad Zahid berkata, sebarang usaha memulihkan MN atau permuafakatan dan kerjasama mestilah kembali berpandukan kepada prinsip dan semangat piagam asal yang pernah dimeterai bersama Pas.

Menurutnya, UMNO tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah yang menjadi asas kestabilan politik tanah air.

Dalam pada itu, Mahdzir menyifatkan, masa akan menentukan apa yang akan berlaku pada gagasan MN walaupun sebelum ini kedua-dua parti berkenaan dilihat ‘berperang mulut’ antara satu sama lain.

“Masa akan menentukanlah, apa keadaannya apabila sampai masanya.

“Dalam mana-mana organisasi politik atau mana-mana parti yang menjadi ‘leader’ kepada mana-mana parti politik, dia mempunyai sasaran akhir untuk menang dalam pilihan raya,” katanya lagi.

Menurut Ahli Parlimen Padang Terap itu, sekiranya rundingan terbaharu gagal mencapai kesepakatan, UMNO hanya mempunyai dua pilihan.

“Dalam PRU ada dua saja, sama ada BN pergi secara solo atau atas permuafakatan yang disebut Muafakat Nasional,” ujarnya.

Ditanya bilakah masa sesuai untuk kedua-dua kepimpinan tertinggi mengadakan rundingan susulan bahang PRU15 semakin terasa, Mahdzir berkata, masa akan menentukan sama ada cepat atau lambat.

“Sama ada segera atau lambat sikit dalam sehari dua atau seminggu lagi, tapi dalam masa terdekat ini. Apa saja perubahan akan berlaku dalam masa-masa ini lah,” ujarnya lagi.

Sumber: Sinar Harian

 

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending