Connect with us

Terkini

PRU15: Elak khianat, Pas wajibkan calon bertanding lakukan ‘baiah’

Pas akan menapis semua calonnya yang dicadangkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mewajibkan mereka melakukan baiah (janji setia) dan bersumpah dengan nama ALLAH SWT untuk tidak menyeleweng dan mengkhianati amanah apabila menjadi pemimpin.

Wartawan TMT

Published

on

PRU15: Elak khianat, Pas wajibkan calon bertanding lakukan 'baiah'
Foto: Tan Sri Abdul Hadi Awang.
  • Pas akan menapis semua calon dicadangkan bertanding dengan mewajibkan melakukan baiah (janji setia) dan bersumpah dengan nama ALLAH SWT.
  • Perkara itu dilakukan agar tidak menyeleweng dan mengkhianati amanah apabila menjadi pemimpin.
  • Setiap calon juga wajib mendapat pengesahan Majlis Syura Ulama.
  • Al-Quran meletakkan acuan pemerintahan negara yang dijanjikan bersih dan stabil dengan syarat pemimpin mestilah beriman dan mengerjakan amal soleh dengan niat ikhlas kerana ALLAH. – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

SHAH ALAM – Pas akan menapis semua calonnya yang dicadangkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mewajibkan mereka melakukan baiah (janji setia) dan bersumpah dengan nama ALLAH SWT untuk tidak menyeleweng dan mengkhianati amanah apabila menjadi pemimpin.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sebelum itu, setiap calon berkenaan juga wajib mendapat pengesahan Majlis Syura Ulama.

Menurutnya, al-Quran meletakkan acuan pemerintahan negara yang dijanjikan bersih dan stabil dengan syarat pemimpin mestilah beriman dan mengerjakan amal soleh dengan niat ikhlas kerana ALLAH.

“Pas berusaha memenuhi syarat-syarat tersebut dengan menapis semua nama calon-calon yang dicadangkan bertanding dalam pilihan raya.

“Selain itu, Pas juga pernah menubuhkan satu Jabatan Hisbah yang diketuai oleh Almarhum Tun Mohamed Salleh Abas dan membuat persediaan untuk memperkasakan undang-undang syariat Islam.

“Akan tetapi, usaha tersebut dihalang oleh bidang kuasa kerajaan negeri yang terbatas dan bidang kuasa kerajaan pusat yang membatalkannya. Maka, tujuan Pas bagi mewujudkan kerajaan yang bersih dan stabil terhalang ketika itu,” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas di Facebook beliau pada Jumaat.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, sehingga kini, Pas telah berjaya membuktikan kerajaan yang bersih daripada rasuah, apabila memerintah dengan kuasa yang terbatas di Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Abdul Hadi memberitahu, ia termasuklah berjaya mengemudi beberapa kementerian yang ditugaskan kepada Pas mulai tahun 1974 hingga 1978 ketika menyertai kerajaan campuran pada era Almarhum Tun Abdul Razak dahulu, dan terkini dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Dalam tempoh yang paling lama, Pas memerintah di Kelantan sebanyak dua kali, pertamanya dari tahun 1959 hingga 1978 dan kali kedua pada tahun 1990 sehingga kini yang sudah lebih 30 tahun.

“Adapun di Terengganu, Pas memerintah sebanyak tiga kali, kali pertama dari 1959 hingga 1961, kali kedua dari 1999 hingga 2004 dan kali ketiga dari 2018 sehingga kini. Di Kedah, Pas memimpin kerajaan campuran dari 2008 hingga 2012 dan dari 2020 hingga kini,” ujar beliau.

Tambah Abdul Hadi, semua kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pas, bersih daripada tuduhan rasuah dan terbuka bebas kepada tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, keadaan itu sangat berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di beberapa negeri dan peringkat pusat yang ternyata mempunyai tuduhan rasuah, malah dihentikan perbicaraan dan siasatannya.

“Dalam BN juga ada yang telah dihukum, dituduh dan diseret dengan tuduhan rasuah ke mahkamah, tetapi tidak dibatalkan kes mereka sepertimana PH.

“Perikatan Nasional (PN) yang disertai oleh Pas belum terbukti adanya mereka yang dikenakan tuduhan dan tiada pula yang dibawa ke mahkamah,” jelas beliau.

Dari sudut kestabilan pula, Abdul Hadi memberitahu, kestabilan boleh dilihat di negeri-negeri yang mempunyai pendidikan agama yang banyak dan menjadi kubu Pas kerana masih terpeliharanya akhlak Islam.

Sebelum ini BN terlebih dahulu mengumumkan calon PRU15 parti itu akan disaring secara menyeluruh termasuk semakan akan dilakukan di pejabat agama.

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu pertama kali diperkenalkan dalam PRU kali ini kerana parti tidak mahu sebarang isu berbangkit membabitkan calon termasuk mempunyai rekod berkahwin di Siam.

Sumber: Sinar Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending