Connect with us

Terkini

Saksi terima puluhan mesej mengadu menjadi mangsa Ebit Lew

Perbicaraan hari pertama Ebit Lew pada sesi pagi yang berlangsung di Mahkamah Majistret Tenom di sini, menampilkan seorang konsultan sebagai saksi pertama dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal itu.

Wartawan TMT

Published

on

Saksi terima puluhan mesej mengadu menjadi mangsa Ebit Lew
  • Perbicaraan hari pertama Ebit Lew menampilkan seorang konsultan sebagai saksi pertama dalam perbicaraan kes gangguan seksual pendakwah itu.
  • Mahkamah memanggil enam individu bagi menjalankan proses pengecaman oleh saksi pertama pihak pendakwaan, Mohd Fairuz Abu, 37, termasuk seorang pendakwah, Firdaus Wong.
  • Pada 26 Julai 2021 saksi pertama telah berkongsi di Facebook miliknya berhubung seorang pendakwah selebriti yang telah melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita.
  • “Dalam perkongsian di Facebook itu, saya mencadangkan kepada wanita lain yang menjadi mangsa supaya menghubunginya untuk dibantu dari segi kaunseling, psikologi dan juga membantu mereka melaporkan kepada pihak polis,” – Saksi pertama.

TENOM – Perbicaraan hari pertama Ebit Lew pada sesi pagi yang berlangsung di Mahkamah Majistret Tenom di sini, menampilkan seorang konsultan sebagai saksi pertama dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal itu.

Selain itu, mahkamah turut memanggil enam individu bagi menjalankan proses pengecaman oleh saksi pertama pihak pendakwaan, Mohd Fairuz Abu, 37, termasuk seorang pendakwah, Firdaus Wong serta tertuduh, Ebit Lew, 37 atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim.

Dalam prosiding itu, Mohd Fairuz memberitahu mahkamah beliau sebagai seorang konsultan dan turut memberi kesedaran terhadap isu pendidikan seksual, jenayah seksual kanak-kanak dan lain-lain termasuk gangguan seksual terhadap wanita di luar menerusi media sosial miliknya.

Beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa pada 26 Julai 2021 dia telah berkongsi di Facebook miliknya berhubung seorang pendakwah selebriti yang telah melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita.

“Dalam perkongsian di Facebook itu, saya mencadangkan kepada wanita lain yang menjadi mangsa supaya menghubunginya untuk dibantu dari segi kaunseling, psikologi dan juga membantu mereka melaporkan kepada pihak polis,” katanya.

Berikutan hantaran itu, beliau menerima berpuluh mesej termasuk seorang mangsa wanita yang menghubunginya pada jam 11.43 malam 27 Julai 2021 yang mengadu menjadi mangsa Ebit Lew.

“Awalnya wanita itu tidak memperkenalkan diri serta namanya. Apa yang beliau mesej saya adalah bertanya siapa individu yang saya maksudkan dalam hantaran saya pada 26 Julai 2021.

“Bila saya menyebut tentang Ebit Lew maka wanita itu terus kongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew dengan beliau dan juga menghantar gambar kemaluan yang diberikan Ebit Lew melalui WhatsApp,” katanya.

Katanya lagi kepada mahkamah, tangkap layar berkenaan kemudian diberikan kepada Firdaus Wong yang juga ketika itu sedang mengendalikan kes yang sama melibatkan Ebit Lew berkaitan wanita lain.

Mohd Fairuz memberitahu kepada mahkamah bahawa dia telah menghubungi wanita itu untuk mendengar secara penuh kronologi berhubung kes gangguan seksual terhadapnya sebelum mencadangkan kepadanya untuk membuat laporan polis.

“Awalnya beliau takut-takut, rasa tidak selamat untuk berkongsi namun selepas saya menenangkan beliau, barulah dia berkongsi A-Z (dari awal hingga akhir).

“Maka saya mencadangkan kepada beliau untuk membuat laporan polis tetapi beliau takut dan berkata ‘saya orang kecil saja, Ebit Lew orang besar’.

“Jadi saya berkata, jika ruang dan peluang ini tidak digunakan untuk membuat laporan polis maka bayangkan berapa ramai lagi yang akan diganggu oleh Ebit Lew,” katanya.

Mohd Fairuz kemudian memberitahu mahkamah bahawa dia tidak pernah bertemu dengan wanita itu secara peribadi tetapi bertemu di balai polis pada 7 Ogos.

“Saya juga dipanggil menjadi saksi untuk memberi kenyataan kepada pihak polis dan telefon saya telah diberi kepada pihak polis,” katanya.

Ketika memberi keterangan di mahkamah itu, Mohd Fairuz diminta mengecam tiga pegawai polis yang mengendalikan kes itu.

Perbicaraan kes pendakwah itu ditangguh pada tengah hari sebelum disambung semula pada jam 2 petang di mahkamah sama.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad manakala Ebit diwakili peguamnya, Ram Singh serta Kamarudin Mohmad Chin manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Sumber: Sinar Harian 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Berhikmahkah baca ayat al-Quran di hadapan tempat ibadat agama lain?

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Tangkap layar video yang tular menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Dalam video berkenaan, lelaki itu membaca ayat khusus yang berkaitan teguran Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang menyembah berhala dalam Surah al-Anbiyaa’ 21:66-67

Nabi Ibrahim AS berkata: ‘Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?’” 

Tidak dinafikan apa yang dimaksudkan ayat ini adalah benar dan merupakan fakta dalam ajaran Islam. 

Malah, tiada masalah sekalipun jikalau seseorang Muslim ingin membaca al-Qur’an kerana sememangnya ia perkara yang digalakkan dan diimani setiap Muslim.  

Penulis percaya barangkali niat pempengaruh itu adalah untuk menyampaikan mesej Tawhid dengan membaca petikan ayat al-Qur’an yang khusus menceritakan tentang sindiran Nabi Ibrahim AS kepada pengamal berhala. 

Meskipun niat tersebut mungkin baik, tindakan membaca al-Qur’an di rumah ibadat agama lain adalah tidak sesuai apatah lagi di hadapan patung berhala yang dianggap Tuhan oleh penganut agama terbabit. 

Lebih-lebih lagi, jika tindakan ini bertujuan untuk, konten dan meraih views di media sosial, ia menambahkan lagi ketidak sensitiviti terhadap keagamaan. Tanpa mengetahui realiti setempat, jelas ini bukan dakwah, ini adalah tindakan provokasi yang tidak sepatutnya berlaku.  

Berdakwah biarlah berhikmah 

Setiap daripada kita pasti memiliki pendekatan berdakwah yang pelbagai dalam usaha menarik golongan yang diseru kepada Islam.  

Namun, setiap pendekatan itu juga perlu digariskan mengikut saranan Allah yang menyuruh umat Islam supaya berdakwah secara berhikmah atau bijaksana. 

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl 16:125).

Hikmah dalam konteks ayat ini adalah meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya dengan panduan akal. 

Sebagaimana  yang dinyatakan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari (7/205), “Makna yang paling benar dari Al-Hikmah adalah bahwa Al-Hikmah adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya.” 

Sa’id Hawwa pula mengatakan, al-hikmah itu ialah maqalah (pendapat atau perkataan) yang sahih dan jitu, iaitu dalil yang menerangkan kebenaran yang menghilangkan syubhat (kesamaran), atau khitab (ucapan, perkataan atau perbicaraan) yang munasabah kepada setiap golongan manusia berdasarkan kedudukan mereka.

Sebagai contoh, sesuaikah sekiranya kita berdakwah kepada orang bukan Muslim yang asing dan baru pertama kali berjumpa dengan membaca petikan ayat al-Qur’an seperti: 

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu.” (Surah An-Nisa’ 4:56)  

Sememangnya petikan ayat al-Qur’an ini adalah dalil yang sahih. Namun mari kita fikirkan secara logik, adakah bukan Muslim terbabit akan semakin mendekati Islam atau sebaliknya, menjauhi Islam? 

Dan bolehkah pendekatan dakwah sebegini kita katakan sebagai dakwah secara bijaksana yang meletakkannya di tempat yang sepatutnya? 

Sedangkan, kita perlu menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan audiens mengikut konteks sosial dan realiti setempat. Bukan main terjah berdakwah tanpa mengambil tahu latar belakang kepercayaan setempat. 

Dalam usaha berdakwah, amat penting untuk kita sentiasa mempertimbangkan sensitiviti agama lain dan menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka. 

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah Al-An’am 6:108) 

Tetapi, apakah menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka bermaksud Muslim menerima kepercayaan mereka? Sudah tentu tidak. Sebabnya jelas, akidah yang berbeza dan prinsip Islam juga jelas iaitu ‘bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku’. 

Pendekatan dakwah yang bijaksana dan penuh hikmah adalah pendekatan yang bukan sahaja mampu menyampaikan mesej Islam dengan lebih efektif, tetapi juga dapat mengukuhkan hubungan kewujudan bersama secara aman dengan penganut agama lain.

Kita harus sentiasa berhati-hati dan bijak dalam memilih cara berdakwah agar mesej yang disampaikan tidak menimbulkan salah faham mahupun ketegangan. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending