Terkini
11 kes gangguan seksual Ebit Lew, dibicarakan esok
Perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew melibatkan gangguan seksual akan bermula esok hingga 30 September di Mahkamah Majistret Tenom.

- Ia akan bermula esok hingga 30 September di Mahkamah Majistret Tenom.
- Majistret Nur Asyraf Zolhani akan mendengar kes itu manakala pendakwaan akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohammad Ramli dan Adibah Saiful Bahari.
- Barisan peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye akan mewakili Ebit Lew.
KOTA KINABALU – Perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew melibatkan gangguan seksual akan bermula esok hingga 30 September di Mahkamah Majistret Tenom.
Ebit Lew, 38, menghadapi 11 pertuduhan, antaranya didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.
Majistret Nur Asyraf Zolhani akan mendengar kes itu manakala pendakwaan akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohammad Ramli dan Adibah Saiful Bahari.
Barisan peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye akan mewakili Ebit Lew.
Ebit Lew dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada Februari lalu, Ebit Lew telah dihadapkan ke Mahkamah Litar Pejabat Daerah Tenom, Sabah bagi menghadapi 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.
Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.
Terbaharu, The Merdeka Times melaporkan bahawa seorang individu yang mendakwa dirinya menjadi mangsa gangguan seksual Ebit Lew telah memfailkan saman sivil ke atas pendakwah itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Mangsa mendakwa Ebit Lew telah menghantar mesej-mesej serta gambar lucah kepadanya serta membuat panggilan video sambil menunjukkan kemaluan kepada mangsa. Difahamkan mangsa telah membuat laporan polis terhadap Ebit Lew pada tahun lepas. – The Merdeka Times
