Terkini
Pulangkan Salsa! Wanita mualaf jumpa telefon anak disorok, rayu bekas suami kembalikan anak
Seorang wanita mualaf merayu bekas suaminya yang juga warga Pakistan untuk memulangkan anak mereka, yang berusia lapan tahun, dipercayai diculik dan dilarikan sejak tiga hari lalu.
KUALA LUMPUR – Seorang wanita mualaf merayu bekas suaminya yang juga warga Pakistan untuk memulangkan anak mereka, yang berusia lapan tahun, dipercayai diculik dan dilarikan sejak tiga hari lalu.
Salsabeelshaban Pasha, 8, dipercayai dilarikan bapanya selepas Shawwal Chan Pui Mun, 34, menemui telefon anaknya dibalut dengan pelekat berwarna kelabu yang disorok di dalam bekas alat pemadam api di aras berbeza di pangsapuri sewa bekas suaminya di Bandar Permaisuri, Cheras.
Telefon mangsa berjaya dikesan menggunakan sistem pengesan global (GPS) yang menunjukan lokasi peranti terbabit dengan kehadiran pihak polis.
Shawwal telah menghubungi The Merdeka Times (TMT) hari ini bagi membantu mengesan anaknya yang dipercayai dilarikan bekas suaminya itu.
Menurut laporan polis yang dibuat wanita mualaf itu di Balai Polis Salak South, Cheras, anaknya disedari hilang apabila dia tidak pulang ke rumahnya pada tarikh dan jam yang seharusnya dia kembali selepas bertemu dengan bapanya pada 13 Ogos lalu.
Shawwal berkata bekas suaminya, Ali Shaban berjanji akan menghantar semula kanak-kanak itu sebelum jam 5 petang sehari kemudiannya pada 14 Ogos berdasarkan hak lawatan setiap sabtu tiga kali sebulan.
“Pada 14 Ogos jam 5 petang bekas suami harus hantar anak balik, tetapi tak hantar dan phone dalam keadaan tutup. Jadi saya pergi balai buat report dan pergi ke rumahnya dengan polis.
“Kawan rumah sewanya kata dia bawa anak keluar pada Sabtu (13 Ogos 2022) jam 5 petang lebih, kata phone anak hilang nak cari dan anak dalam keadaan menangis. Kita (Shawwal) cuba call anak tetapi tak ada ambil call dan GPS tunjuk dia (anaknya) dekat apartment tersebut. Polis suruh balik sabar 24 jam,” demikian menurut laporan polis yang diperolehi TMT.
Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi TMT juga menunjukkan anak wanita mualaf itu berada dalam keadaan menangis atau “stress” di dalam lif bersama bapanya.
Tangkap layar CCTV juga menunjukkan bekas suaminya membawa anak wanita mualaf itu dengan membawa beg pakaian berdekatan dengan tempat parkir pangsapuri yang disewa warga Pakistan. – The Merdeka Times