Antarabangsa
Larang wanita bertudung di sekolah, Perancis langgar perjanjian hak antarabangsa – PBB
Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mendapati Perancis melanggar perjanjian hak antarabangsa apabila negara itu melarang seorang wanita daripada memakai tudung ketika mengikuti kursus di sebuah sekolah.

- PBB dapati Perancis langgar Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik kerana melarang wanita memakai tudung ketika mengikuti kursus di sebuah sekolah
- Aduan difailkan wanita warga Perancis pada 2016 namun peguam wanita itu tidak mahu nama anak guam mereka disiarkan.
- Wanita itu jalani kursus latihan profesional untuk dewasa pada 2010, dan lulus temu duga serta ujian kemasukan tetapi pengetua sekolah tinggi Paris enggan membenarkannya memasuki premis itu.
- Ia berikutan larangan memakai simbol agama di kemudahan pendidikan awam.
GENEVA: Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mendapati Perancis melanggar perjanjian hak antarabangsa apabila negara itu melarang seorang wanita daripada memakai tudung ketika mengikuti kursus di sebuah sekolah.
Jawatankuasa terbabit memutuskan bahawa tindakan berkenaan melanggar Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik, susulan aduan difailkan wanita warga Perancis pada 2016, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, peguam wanita itu tidak mahu nama anak guam mereka yang dilahirkan pada 1977 itu disiarkan.
Wanita itu dilaporkan menjalani kursus latihan profesional untuk dewasa pada 2010, dan lulus temu duga serta ujian kemasukan.
Namun, pengetua sebuah sekolah tinggi di pinggir bandar Paris enggan membenarkannya memasuki premis itu berikutan larangan memakai simbol agama di kemudahan pendidikan awam.
“Melarang beliau daripada meneruskan penyertaan dalam kursus pendidikan yang diikutinya ketika memakai tudung, adalah sekatan terhadap kebebasan beliau dalam beragama, sekali gus melanggar perjanjian terbabit,” menurut jawatankuasa berkenaan.
Keputusan jawatankuasa itu diterima pakai pada Mac lalu, namun baru dihantar kepada peguam wanita berkenaan, semalam.
“Ini adalah satu keputusan penting yang menunjukkan Perancis mempunyai tugas yang perlu dilakukan dari segi hak asasi manusia, terutama dalam isu menghormati minoriti agama, khususnya komuniti Muslim,” kata peguam wanita itu, Sefen Guez Guez, kepada AFP.
Sumber : AFP/ Berita Harian
Antarabangsa
‘Watchlist FBI’ sasar orang Islam, 12 warga AS saman Jabatan Kehakiman
Sekumpulan 12 Muslim warga Amerika Syarikat (AS), termasuk Datuk Bandar New Jersey, menyaman Jabatan Kehakiman AS pada 18 Sept lalu dalam usaha menamatkan penggunaan ‘watchlist’ atau senarai pemantauan rahsia Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

- Sekumpulan 12 Muslim warga Amerika Syarikat (AS), termasuk Datuk Bandar New Jersey, menyaman Jabatan Kehakiman AS pada 18 Sept lalu dalam usaha menamatkan penggunaan ‘watchlist’ atau senarai pemantauan rahsia Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
- Mereka mendakwa senarai pemantauan itu sengaja menyasarkan orang Islam kerana 98 peratus nama di dalamnya dari kalangan penganut Islam.
- Saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Massachusetts mengatakan dengan meletakkan individu itu dalam set data saringan pengganas, Kerajaan Persekutuan telah “menghukum” plaintif kepada kedudukan “kewarganegaraan kelas kedua seumur hidup.”
- “Pelabelan itu menyebabkan mereka layak untuk kekal disyaki serta dikenakan kesan meluas yang mengubah setiap aspek kehidupan plaintif,” kata tuntutan mahkamah itu dipetik agensi berita Anadolu.
- Plaintif termasuk Datuk Bandar Prospect Park, New Jersey Mohamed Khairullah, Michael Migliore, seorang Muslim Amerika yang menetap di Arab Saudi, Nidal El-Takach, seorang penduduk Michigan dan sembilan yang lain.
Sekumpulan 12 Muslim warga Amerika Syarikat (AS), termasuk Datuk Bandar New Jersey, menyaman Jabatan Kehakiman AS pada 18 Sept lalu dalam usaha menamatkan penggunaan ‘watchlist’ atau senarai pemantauan rahsia Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Mereka mendakwa senarai pemantauan itu sengaja menyasarkan orang Islam kerana 98 peratus nama di dalamnya dari kalangan penganut Islam.
Saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Massachusetts mengatakan dengan meletakkan individu itu dalam set data saringan pengganas, Kerajaan Persekutuan telah “menghukum” plaintif kepada kedudukan “kewarganegaraan kelas kedua seumur hidup.”
“Pelabelan itu menyebabkan mereka layak untuk kekal disyaki serta dikenakan kesan meluas yang mengubah setiap aspek kehidupan plaintif,” kata tuntutan mahkamah itu dipetik agensi berita Anadolu.
Tuntutan itu juga mendakwa plaintif berdepan kemudaratan, penghinaan awam, pengawasan, gangguan dalam perjalanan, penafian pekerjaan dan “secara efektif dibuang oleh AS”.
Saman itu turut menegaskan walaupun dikeluarkan dari senarai pemantauan FBI itu, mereka tetap akan mengalami kesan negatif seumur hidup yang bakal memudaratkan mereka.
Plaintif termasuk Datuk Bandar Prospect Park, New Jersey Mohamed Khairullah, Michael Migliore, seorang Muslim Amerika yang menetap di Arab Saudi, Nidal El-Takach, seorang penduduk Michigan dan sembilan yang lain.
Bercakap kepada pemberita di New Jersey, Khairullah berkata beliau belum dimaklumkan secara rasmi mengapa namanya berada dalam senarai pemantauan itu dan tidak juga diperjelaskan jika namanya sudah dikeluarkan.
Sumber: Anadolu Ajansı
-
Terkini2 days ago
Anak mualaf bersyukur MRM bantu uruskan jenazah ibu
-
Terkini4 days ago
Peniaga terima wang menerusi DuitNow QR akan dicaj bermula 1 November
-
Antarabangsa3 days ago
Penutupan kerajaan AS tidak dapat dielakkan – Biden
-
Antarabangsa3 days ago
Malaysia dijangka beri pengecualian visa kepada pelancong China