Terkini
Justice for Sisters kritik ‘Op Cegah Pondan’ di Ipoh
Justice for Sisters (JFS) mengkritik penahanan lima lelaki transgender di Ipoh, Perak di bawah undang-undang syariah ketika serbuan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi “Op Cegah Pondan”, baru-baru ini.
- Justice for Sisters (JFS) mengkritik penahanan lima lelaki transgender di Ipoh, Perak di bawah undang-undang syariah ketika serbuan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi “Op Cegah Pondan”, baru-baru ini.
- JSF menyeru serbuan dan aktiviti menjenayahkan serta tidak berperikemanusiaan terhadap kelompok transgender dihentikan kerana didakwa mencabuli hak asasi manusia dan maruah diri kelompok terbabit.
- “Apabila negara bukan sahaja menyasarkan tetapi juga cuba untuk ‘mengekang’ kumpulan berdasarkan identiti mereka, ia menjadi punca kebimbangan yang serius,” kata pengasas bersama JFS, Thilaga Sulathireh dalam kenyataan pada Selasa.
- Jurucakap Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIPk sebelum ini, mengatakan dalam serbuan dilakukan sekitar bandar raya Ipoh, lima pondan yang berasal dari Thailand berjaya ditahan pihaknya.
- Mengulas kritikan JFS, Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim semalam dilaporkan berkata pihaknya tidak akan berdiam diri dan membiarkan golongan LGBT terus melakukan aktiviti tidak bermoral kerana ia perbuatan dikutuk agama.
KUALA LUMPUR — Justice for Sisters (JFS) mengkritik penahanan lima lelaki transgender di Ipoh, Perak di bawah undang-undang syariah ketika serbuan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi “Op Cegah Pondan”, baru-baru ini.
JSF juga menyeru serbuan dan aktiviti menjenayahkan serta tidak berperikemanusiaan terhadap kelompok transgender dihentikan kerana didakwa mencabuli hak asasi manusia dan maruah diri kelompok terbabit.
“Nama operasi itu sangat biadap, merendahkan dan mencerminkan prasangka dan salah faham mendalam mengenai identiti jantina.
“Terdapat banyak bukti saintifik mengesahkan kenormalan orang trans – mereka tidak perlu diubah, dihalang atau dijenayahkan.
“Apabila negara bukan sahaja menyasarkan tetapi juga cuba untuk ‘mengekang’ kumpulan berdasarkan identiti mereka, ia menjadi punca kebimbangan yang serius,” kata pengasas bersama JFS, Thilaga Sulathireh dalam kenyataan pada Selasa.
Jurucakap Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIPk sebelum ini, mengatakan dalam serbuan dilakukan sekitar bandar raya Ipoh, lima pondan yang berasal dari Thailand berjaya ditahan pihaknya.
Katanya, mengikut Seksyen 55 Enakmen Jenayah Syariah Perak, seseorang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam bagi tujuan maksiat adalah satu kesalahan.
Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Mengulas lanjut, JFS berpandangan Jabatan Islam negeri itu sepatutnya menjunjung prinsip Islam iaitu keamanan, maruah, hormat-menghormati, kesejahteraan dan keterangkuman.
“Kami menggesa media supaya tidak menormalkan penggunaan bahasa yang menghina terhadap lelaki transgender, yang hanya berfungsi untuk terus meminggirkan dan merendahkan mereka,” kata Thilaga.
Mengulas kritikan JFS, Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim semalam dilaporkan berkata pihaknya tidak akan berdiam diri dan membiarkan golongan LGBT terus melakukan aktiviti tidak bermoral kerana ia perbuatan dikutuk agama.
“LGBT tak sesuai dengan budaya kita di sini. Budaya LGBT ini ditentang keras, kita ada kisah dalam al-Quran, kisah kaum Luth dan sebagainya,” katanya.
Harith mengakui terdapat kesilapan ketika penahanan itu kerana lima individu warga Thailand itu bukan beragama Islam.
“Bagaimanapun semua mereka dibebaskan selepas pemeriksaan pengenalan diri. Bawah (Enakmen Undang-undang Syariah Perak) hanya orang Islam sahaja kita boleh ambil tindakan,” kata Harith dipetik media tempatan. — The Merdeka Times
Sumber : Laman Web Justice For Sisters
Antarabangsa
Israel bom depot senjata berdekatan pangkalan udara Russia di Syria
Letupan besar dan kebakaran berdekatan lapangan terbang dan pangkalan udara di Syria dilaporkan hari ini dengan Syriawatan News mendakwa sebuah gudang penyimpanan senjata diserang.
- Letupan besar dan kebakaran berdekatan lapangan terbang dan pangkalan udara di Syria dilaporkan hari ini dengan Syriawatan News mendakwa sebuah gudang penyimpanan senjata diserang.
- Insiden itu berlaku berhampiran Pangkalan Udara Khmeimim Russia dan Lapangan Terbang Bassel al-Assad di Jableh, Syria.
- Terdapat dakwaan bahawa pesawat Russia terlibat dalam usaha memintas peluru berpandu di kawasan itu.
- Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Pertahanan udara Russia dan Syria memintas peluru berpandu selama sekurang-kurangnya 40 minit di Latakia, lapor Sky News Arabia.
Letupan besar dan kebakaran berdekatan lapangan terbang dan pangkalan udara di Syria dilaporkan hari ini dengan Syriawatan News mendakwa sebuah gudang penyimpanan senjata diserang.
Insiden itu berlaku berhampiran Pangkalan Udara Khmeimim Russia dan Lapangan Terbang Bassel al-Assad di Jableh, Syria.
Terdapat dakwaan bahawa pesawat Russia terlibat dalam usaha memintas peluru berpandu di kawasan itu.
Pertahanan udara Russia dan Syria dilaporkan memintas peluru berpandu selama sekurang-kurangnya 40 minit.
Terdapat dakwaan bahawa pertahanan udara memintas peluru berpandu di luar pantai Jableh, sebuah bandar di barat laut Syria, dengan anggaran 30 peluru berpandu dilancarkan.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Pertahanan udara Russia dan Syria memintas peluru berpandu selama sekurang-kurangnya 40 minit di Latakia, lapor Sky News Arabia.
Laporan tempatan lain mencadangkan sebuah pesawat Iran di lapangan terbang mungkin turut menjadi sasaran.
Israel yang sering menjalankan operasi terhadap sasaran berkaitan dengan Iran di Syria belum memberikan sebarang komen mengenai insiden letupan itu. — The Merdeka Times