Terkini
Isu Crackhouse: Norma baharu komedi, tidak boleh lagi sentuh isu sensitif agama dan kaum
Kelab komedi ‘The Joke Factory’ di ibu negara memulakan inisiatif membendung pelawak-pelawak menyentuh isu-isu sensitif melampau dalam persembahan mereka bagi mengelakkan insiden kontroversi di kelab komedi ‘Crackhouse’ berulang.
- Kelab komedi ‘The Joke Factory’ di Mont Kiara mulakan inisiatif membendung pelawak-pelawak menyentuh isu sensitif melampau dalam persembahan mereka bagi mengelak insiden ‘Crackhouse’ berulang.
- Semua pelawak yang membuat persembahan di kelab komedi itu dikehendaki mematuhi syarat-syarat dan garis panduan persembahan ditetapkan The Joke Factory.
- Antara syarat terbabit adalah pelawak mestilah tidak berada di bawah pengaruh bahan-bahan terlarang sebelum atau semasa membuat persembahan komedi.
- Mereka juga tidak dibenarkan menyentuh apa-apa berkaitan dengan sistem diraja di Malaysia dan dilarang menyentuh isu agama dan kaum yang sensitif.
- The Joke Factory dimiliki selebriti yang juga ‘bapa stand up komedi di Malaysia’, Harith Iskander.
KUALA LUMPUR – Kelab komedi ‘The Joke Factory’ di ibu negara memulakan inisiatif membendung pelawak-pelawak menyentuh isu-isu sensitif melampau dalam persembahan mereka bagi mengelakkan insiden kontroversi di kelab komedi ‘Crackhouse’ berulang.
The Merdeka Times (TMT) menyedari perkara itu selepas menghadiri persembahan pelawak kontroversi, Rizal van Geyzel di kelab komedi itu yang terletak di Publika, Jalan Dutamas, Mont Kiara pada 19 Ogos lalu.
Rizal dalam persembahannya pada malam itu memaklumkan kepada penonton yang beliau dikehendaki menandatangani satu surat dengan syarat-syarat dan garis panduan persembahan komedi yang perlu dipatuhinya.
TMT difahamkan syarat-syarat dan garis panduan itu perlu dipatuhi semua pelawak yang membuat persembahan di The Joke Factory dimiliki selebriti yang juga ‘bapa stand up komedi di Malaysia’, Harith Iskander.
“Ini norma baharu dalam industri komedi,” kata seorang pekerja kelab komedi itu kepada TMT.
Antara syarat-syarat harus dipersetujui pelawak terbabit adalah mereka mestilah tidak berada di bawah pengaruh bahan-bahan terlarang sebelum atau semasa membuat persembahan komedi.
Pelawak tidak dibenarkan menyentuh apa-apa yang berkaitan dengan sistem diraja di Malaysia selain dilarang menyentuh isu agama dan kaum yang sensitif dalam jenaka mereka.
Bulan lalu, negara digemparkan dengan video tular memaparkan seorang wanita yang menyertai sesi ‘open mic’ buat kali pertama dan melakukan jenaka sensitif serta bersifat menghina agama sekali gus membangkitkan kemarahan ramai.
Inisiatif The Joke Factory dilihat sebagai langkah baik bagi membendung pelawak atau ‘open-micer’ membuat lawak keterlaluan dan tidak sensitif sehingga membangkitkan kemarahan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia. – The Merdeka Times