Connect with us

Terkini

Tak lagi sentuh isu sensitif, Rizal van Geyzel semakin berhati-hati ketika melawak

Pelawak komediri kontroversi, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel atau Rizal van Geyzel dilihat mula berhati-hati dalam melawak selepas insiden kontroversi yang menyaksikan kelab komedi miliknya ‘Crackhouse’ ditutup pihak berkuasa.

Wartawan TMT

Published

on

Tak lagi sentuh isu sensitif, Rizal van Geyzel semakin berhati-hati ketika melawak
Foto: Pelawak komediri kontroversi, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel.
  • Pelawak komediri kontroversi, Rizal van Geyzel dilihat mula berhati-hati dalam melawak selepas insiden kontroversi yang menyaksikan kelab komedi miliknya ‘Crackhouse’ ditutup pihak berkuasa.
  • Situasi lawak berhati-hati itu disaksikan dalam persembahan komedi Rizal di kelab komedi ‘The Joke Factory’ di Publika, Mont Kiara pada 19 dan 20 Ogos lalu.
  • Ini merupakan persembahan komedi Rizal yang kedua selepas kes mahkamah membabitkan tiga pertuduhan komunikasi jelik ke atasnya dan tindakan penutupan Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail bulan lalu.
  • Mengakui insiden kontroversi membabitkan Crackhouse banyak memberikan pengajaran kepada dirinya, Rizal akui terima banyak tohmahan dan kecaman di media sosial.
  • Sebelum ini tular video yang memaparkan Rizal membuat persembahan dalam Bahasa Tamil yang memerli orang Melayu di kelab komedi miliknya, sebelum ia ditutup pihak berkuasa kerana membangkitkan kemarahan ramai pihak.

KUALA LUMPUR – Pelawak komediri kontroversi, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel atau Rizal van Geyzel dilihat mula berhati-hati dalam melawak selepas insiden kontroversi yang menyaksikan kelab komedi miliknya ‘Crackhouse’ ditutup pihak berkuasa.

Situasi lawak berhati-hati itu disaksikan dalam persembahan komedi Rizal di kelab komedi ‘The Joke Factory’ di Publika, Mont Kiara pada 19 dan 20 Ogos lalu.

Joke Factory show - Rizal van Geyzel

Ini merupakan persembahan komedi Rizal yang kedua selepas kes mahkamah membabitkan tiga pertuduhan komunikasi jelik ke atasnya dan tindakan penutupan Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail bulan lalu.

Persembahan pada dua malam itu menampilkan tiga pelawak komediri tempatan yang membuat persembahan 10 hingga 15 minit diikuti Rizal membuat persembahan penutup selama satu jam.

Rata-rata penonton di The Joke Factory pada malam itu tidak dapat menjangkakan isu kandungan lawak Rizal memandangkan dia sebelum ini sering menjadikan isu kaum sebagai bahan lawaknya.

Di awal persembahannya, Rizal memaklumkan yang beliau perlu menandatangani kertas persetujuan, antara lain mengandungi syarat-syarat dan garis panduan komediri ketika membuat persembahan di The Joke Factory bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

Kandungan lawak Rizal pada malam itu berkisar cerita keluarganya yang tetap menghiburkan penonton walaupun tidak lagi menyentuh isu-isu sensitif agama dan kaum.

Pelawak komediri kontroversi itu berkata selepas kes perbicaraannya, dia menerima banyak kecaman dan tohmahan di media sosial. 

Mengakui insiden kontroversi membabitkan Crackhouse banyak memberikan pengajaran, Rizal menyatakan masih didatangi mereka yang baik hati menghulurkan bantuan dan nasihat.

The Merdeka Times (TMT) sebelum ini turut berkongsikan video yang memaparkan Rizal membuat persembahan dalam Bahasa Tamil yang memerli orang Melayu di kelab komedi miliknya, sebelum ia ditutup pihak berkuasa kerana membangkitkan kemarahan ramai pihak. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Berhikmahkah baca ayat al-Quran di hadapan tempat ibadat agama lain?

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Tangkap layar video yang tular menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Dalam video berkenaan, lelaki itu membaca ayat khusus yang berkaitan teguran Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang menyembah berhala dalam Surah al-Anbiyaa’ 21:66-67

Nabi Ibrahim AS berkata: ‘Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?’” 

Tidak dinafikan apa yang dimaksudkan ayat ini adalah benar dan merupakan fakta dalam ajaran Islam. 

Malah, tiada masalah sekalipun jikalau seseorang Muslim ingin membaca al-Qur’an kerana sememangnya ia perkara yang digalakkan dan diimani setiap Muslim.  

Penulis percaya barangkali niat pempengaruh itu adalah untuk menyampaikan mesej Tawhid dengan membaca petikan ayat al-Qur’an yang khusus menceritakan tentang sindiran Nabi Ibrahim AS kepada pengamal berhala. 

Meskipun niat tersebut mungkin baik, tindakan membaca al-Qur’an di rumah ibadat agama lain adalah tidak sesuai apatah lagi di hadapan patung berhala yang dianggap Tuhan oleh penganut agama terbabit. 

Lebih-lebih lagi, jika tindakan ini bertujuan untuk, konten dan meraih views di media sosial, ia menambahkan lagi ketidak sensitiviti terhadap keagamaan. Tanpa mengetahui realiti setempat, jelas ini bukan dakwah, ini adalah tindakan provokasi yang tidak sepatutnya berlaku.  

Berdakwah biarlah berhikmah 

Setiap daripada kita pasti memiliki pendekatan berdakwah yang pelbagai dalam usaha menarik golongan yang diseru kepada Islam.  

Namun, setiap pendekatan itu juga perlu digariskan mengikut saranan Allah yang menyuruh umat Islam supaya berdakwah secara berhikmah atau bijaksana. 

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl 16:125).

Hikmah dalam konteks ayat ini adalah meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya dengan panduan akal. 

Sebagaimana  yang dinyatakan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari (7/205), “Makna yang paling benar dari Al-Hikmah adalah bahwa Al-Hikmah adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya.” 

Sa’id Hawwa pula mengatakan, al-hikmah itu ialah maqalah (pendapat atau perkataan) yang sahih dan jitu, iaitu dalil yang menerangkan kebenaran yang menghilangkan syubhat (kesamaran), atau khitab (ucapan, perkataan atau perbicaraan) yang munasabah kepada setiap golongan manusia berdasarkan kedudukan mereka.

Sebagai contoh, sesuaikah sekiranya kita berdakwah kepada orang bukan Muslim yang asing dan baru pertama kali berjumpa dengan membaca petikan ayat al-Qur’an seperti: 

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu.” (Surah An-Nisa’ 4:56)  

Sememangnya petikan ayat al-Qur’an ini adalah dalil yang sahih. Namun mari kita fikirkan secara logik, adakah bukan Muslim terbabit akan semakin mendekati Islam atau sebaliknya, menjauhi Islam? 

Dan bolehkah pendekatan dakwah sebegini kita katakan sebagai dakwah secara bijaksana yang meletakkannya di tempat yang sepatutnya? 

Sedangkan, kita perlu menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan audiens mengikut konteks sosial dan realiti setempat. Bukan main terjah berdakwah tanpa mengambil tahu latar belakang kepercayaan setempat. 

Dalam usaha berdakwah, amat penting untuk kita sentiasa mempertimbangkan sensitiviti agama lain dan menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka. 

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah Al-An’am 6:108) 

Tetapi, apakah menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka bermaksud Muslim menerima kepercayaan mereka? Sudah tentu tidak. Sebabnya jelas, akidah yang berbeza dan prinsip Islam juga jelas iaitu ‘bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku’. 

Pendekatan dakwah yang bijaksana dan penuh hikmah adalah pendekatan yang bukan sahaja mampu menyampaikan mesej Islam dengan lebih efektif, tetapi juga dapat mengukuhkan hubungan kewujudan bersama secara aman dengan penganut agama lain.

Kita harus sentiasa berhati-hati dan bijak dalam memilih cara berdakwah agar mesej yang disampaikan tidak menimbulkan salah faham mahupun ketegangan. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending