Terkini
PM digesa tunai janji manifesto kesaksamaan gender, hapuskan diskriminasi wanita
Kerajaan baharu digesa mematuhi kewajipan antarabangsa terhadap kesaksamaan gender dan penghapusan diskriminasi serta memulakan era baharu di mana semua wanita dan kanak-kanak di Malaysia dilindungi dan diperkasakan.
- Kerajaan baharu digesa patuhi kewajipan antarabangsa terhadap kesaksamaan gender dan penghapusan diskriminasi serta memulakan era baharu di mana semua wanita dan kanak-kanak di Malaysia dilindungi dan diperkasakan.
- “Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kaum wanita dibayar gaji yang lebih rendah berbanding dengan kaum lelaki bagi kerja yang sama nilai.
- “Kekurangan kemudahan penjagaan kanak-kanak juga menjadi faktor utama dalam isu kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh yang rendah. Mangsa-mangsa keganasan berasaskan gender pula mash menghadapi halangan untuk mendapatkan keadilan.”
- PM, Dato’ Seri Anwar Ibrahim digesa berpegang teguh pada janji manifesto meningkatkan taraf wanita serta kanak-kanak di negara ini, termasuk mewartakan undang-undang RUU Anti-Gangguan Seksual yang diluluskan Julai 2022.
- Kenyataan dikeluarkan Gabungan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (Joint Action Group for Gender Equality, JAG), pada Jumaat.
KUALA LUMPUR – Kerajaan baharu digesa mematuhi kewajipan antarabangsa terhadap kesaksamaan gender dan penghapusan diskriminasi serta memulakan era baharu di mana semua wanita dan kanak-kanak di Malaysia dilindungi dan diperkasakan.
Ini berikutan, para wanita di Malaysia masih menghadapi pelbagai halangan dalam memperjuangkan kesaksamaan gender, kata Gabungan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (Joint Action Group for Gender Equality, JAG) dalam satu kenyataan akhbar.

Foto: siaran akhbar Joint Action Group For Gender Equality (JAG)

Foto: siaran akhbar Joint Action Group For Gender Equality (JAG)
“Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kaum wanita dibayar gaji yang lebih rendah berbanding dengan kaum lelaki bagi kerja yang sama nilai.
“Kekurangan kemudahan penjagaan kanak-kanak juga menjadi faktor utama dalam isu kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh yang rendah. Mangsa-mangsa keganasan berasaskan gender pula mash menghadapi halangan untuk mendapatkan keadilan,” katanya pada Jumaat.
Justeru, JAG menggesa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar berpegang teguh pada janji manifesto untuk meningkatkan taraf wanita serta kanak-kanak di negara ini, termasuk mewartakan undang-undang Rang undang-undang (RUU) Anti-Gangguan Seksual yang telah diluluskan pada Julai 2022.
“Kerajaan juga harus memenuhi perjanjian untuk membenarkan warga Malaysia yang melahirkan anak di luar negara menurunkan kewarganegaraan Malaysia kepada anak mereka,” katanya.
Beliau turut menuntut kerajaan melantik calon Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat daripada individu yang berkebolehan serta berwibawa.
Selain itu, beliau mengatakan bahawa calon itu juga perlulah mempunyai rekod yang kukuh dalam memperjuangkan kebajikan wanita dan kanak-kanak, di mana tumpuan berasaskan hak diutamakan.
Menurut laporan Statistik Siswazah 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, perbezaan antara gaji graduan lelaki dan wanita agak ketara yang mana secara purata, lelaki menerima RM5,725 sebulan manakala wanita mendapat RM4,531.
Sementara, 56 peratus wanita di Malaysia pernah mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk diskriminasi di tempat kerja, menurut tinjauan ‘Suara Wanita di Malaysia mengenai Diskriminasi dan Gangguan di Tempat Kerja’ yang dijalankan oleh Women’s Aid Organisation (WAO) dengan kerjasama agensi penyelidikan Vase.ai.
Malah, Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengatakan bahawa kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh di negara ini masih rendah, iaitu hanya 55.5 peratus sahaja pada tahun lalu, sedangkan populasi perempuan pada 2020 adalah 47.7 peratus iaitu hampir separuh daripada populasi Malaysia.
Dalam pada itu, satu kajian terkini Deloitte dengan kerjasama The 30% Club mendapati Malaysia mempunyai peratusan tertinggi wanita sebagai ketua pegawai kewangan di kalangan negara-negara Asia yang ditinjau (34.9 peratus), lebih dua kali ganda daripada purata global yang merekodkan 15.7 peratus.
Bagaimanapun, negara ini masih empat peratus kurang daripada sasaran 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah seperti yang ditetapkan pada 2020.
Sumber : Kosmo
You must be logged in to post a comment Login