Terkini
Karier politik KJ ‘terkubur’ jika bertanding di Sungai Buloh?
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dijangka bertanding di kerusi parlimen Sungai Buloh di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Difahamkan Sungai Buloh mungkin kerusi sukar untuk Khairy bertanding, namun mereka juga percaya beliau akan berjaya berikutan popularitinya dimilikinya sejak memegang jawatan sebagai menteri kesihatan pada Ogos tahun lalu dan menguruskan pandemik Covid-19.
- Kerusi Parlimen Sungai Buloh diwujudkan 2018 hasil pecahan kawasan Subang dan Kuala Selangor dimenangi R Sivarasa dari PKR menewaskan calon PAS dan MIC.
- Pada PRU kali ini, Sivarasa digugurkan dan digantikan dengan timbalan penerangan PKR R Ramanan yang juga merupakan bekas setiausaha agung MIC.
- “Karier politik Khairy Jamaluddin boleh dianggap ‘sudah berkubur’ jika desas-desus beliau bakal bertanding di Parlimen Sungai Buloh jadi kenyataan.” – Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, UTM, Dr Mazlan Ali berkata.
KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dijangka bertanding di kerusi parlimen Sungai Buloh di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Difahamkan Sungai Buloh mungkin kerusi yang sukar untuk Khairy bertanding, namun mereka juga percaya bahawa beliau akan berjaya berikutan popularitinya dimilikinya sejak memegang jawatan sebagai menteri kesihatan pada Ogos tahun lalu dan menguruskan pandemik Covid-19.
Beliau yang juga merupakan penyandang kerusi parlimen Rembau sejak 2008 telah melepaskan kerusi itu kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk bertanding.
Kerusi Parlimen Sungai Buloh diwujudkan pada 2018 hasil pecahan daripada kawasan Subang dan Kuala Selangor yang dimenangi R Sivarasa dari PKR dengan majoriti 26,634 undi menewaskan calon PAS dan Prakash Rao Applanaidoo daripada MIC, yang menduduki tempat ketiga dengan 16,681 undi, ketinggalan 316 undi di belakang calon PAS.
Pada PRU kali ini, Sivarasa digugurkan dan digantikan dengan timbalan penerangan PKR R Ramanan yang juga merupakan bekas setiausaha agung MIC.
Khairy pernah dikaitkan akan bertanding di Port Dickson, Seremban di Negeri Sembilan dan Alor Setar di Kedah serta di Tampin.
Sebelum ini, beliau dalam satu kenyataan telah memberi bayangan bakal bertanding di kerusi Parlimen yang disandang wakil parti bukan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
PRU15 akan berlangsung pada 19 Nov, dengan hari penamaan calon ditetapkan 5 Nov manakala pengundian awal ditetapkan pada 15 Nov.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, karier politik Khairy Jamaluddin boleh dianggap ‘sudah berkubur’ jika desas-desus beliau bakal bertanding di Parlimen Sungai Buloh menjadi kenyataan.
Menurutnya, jika benar UMNO meletakkan Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ di kerusi tersebut, ia bukanlah satu strategi politik tetapi ‘pembunuhan karier’ beliau.
Ini berikutan, trend pengundi di kawasan bandar seperti Sungai Buloh, tidak melihat kepada personaliti calon, sebaliknya melihat isu semasa yang berlaku di dalam negara.
Tambahnya, parti seperti UMNO amat sukar untuk memperoleh kemenangan di kawasan bandar walaupun pengundi Melayu di Parlimen tersebut lebih ramai berbanding kaum lain.
