Terkini
Perbicaraan hari kedua kes gangguan seksual Ebit Lew
Pendakwah terkenal, Ebit Lew tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Tenom pada 10.23 pagi bagi menghadiri perbicaraan hari kedua kes gangguan seksual yang dihadapinya.

KUALA LUMPUR – TENOM – Pendakwah terkenal, Ebit Lew tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Tenom pada 10.23 pagi bagi menghadiri perbicaraan hari kedua kes gangguan seksual yang dihadapinya.
Ebit Lew, 37, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim dilihat berpakaian kemeja merah gelap (maroon) memasuki pekarangan mahkamah.
Prosiding perbicaraan bersambung hari ini di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri, dan Nur Masrin Amalia.
10.31 pagi – Ebit Lew mengambil tempat di kandang tertuduh.
10.50 pagi – Mohd Fairuz Bin Abu dipanggil masuk sebagai saksi pendakwaan pertama.
10.54 pagi – Saksi membawa posting Facebook bertarikh 26 Julai 2021 seperti yang dijanjikan dalam perbicaraan semalam bagi memulakan proses perbicaraan mahkamah hari ini.
11.05 pagi – Pihak pembela bertanya kepada saksi berkenaan tindakan saksi membuat kenyataan di Facebook adalah tindakan susulan selepas aduan mangsa lain terhadap Ebit Lew.
Saksi : Setuju.
Pihak pembela: Kenapa kamu berbuat sedemikian?
Saksi: Saya berbuat sedemikian setelah membuat perbincangan bersama Firdaus Wong dan peguam MRM bagi membantu mana-mana wanita yang telah menjadi mangsa untuk tampil ke hadapan mengadu berkenaan gangguan seksual yang dilakukan kepada mereka. Selepas itu, saya serahkan aduan itu kepada sayap wanita MRM yang memiliki barisan kaunselor, psikologis, asatizah dan agamawan.
11.28 pagi – Saksi memaklumkan kepada mahkamah bahawa selepas menerima gambar tersebut daripada mangsa, saksi menghantar gambar terbabit kepada Firdaus Wong dan telah memadamkan gambar tersebut.
12.13 tengah hari – Saksi pendakwaan mendedahkan bahawa ada satu lagi laporan polis dibuat di Bukit Aman berkenaan seorang wanita.
12.15 tengah hari – Pihak pembela bertanyakan kepada saksi sama ada saksi ada bersama mangsa di Bukit Aman ketika membuat laporan polis.
Saksi: Ya betul bahkan saya menjadi saksi kepada polis.
Beliau memaklumkan bahawa dia tahu bahawa laporan polis telah dibuat, bagaimanapun dia tidak tahu apa yang berlaku kepada kes itu.
“Saya rasa pihak polis yang perlu beritahu perkembangan kes berkenaan, lagipun saya telah membantu wanita ini dari segi menemani beliau ketika membuat laporan polis, menghubungkan beliau dengan peguam MRM (Multiracial Reverted Muslims).
“Saya telah menjalankan apa yang termampu oleh saya,” katanya pada sesi perbicaraan
12.33 tengah hari – Pihak pembela bertanyakan kepada saksi berkenaan saksi ada mencadangkan kepada mangsa untuk membuat laporan polis.
Saksi: Seperti saya sebut dalam keterangan semalam, mangsa dan suami meminta masa untuk berbincang dan pada masa sama mangsa merujuk peguam MRM. Jadi disini perbualan saya dengan mangsa adalah bertarikh 27/7/21 dan kemudian tiada perbincangan selepas itu. Saya hanya bertemu beliau (mangsa) ketika menemaninya bersama suami ke Bukit Aman untuk membuat laporan polis.
Pihak Pembela: Adakah kamu cadangkan mangsa membuat laporan polis di Bukit Aman?
Saksi: Tidak. Ia datang daripada pilihan mangsa dan suami seperti saya sebut sebelum ini.
12.36 tengah hari – Pihak pembela bertanyakan kepada saksi sama ada mangsa akan lebih memerlukan perbelanjaan banyak yang perlu dikeluarkan bagi perjalanan mangsa dari Tenom ke Bukit Aman.
Pihak pendakwa raya mencelah kerana soalah berbentuk spekulasi.
“There is an objection kerana ini adalah satu soalan yang berbentuk spekulasi. Kami (pendakwa raya) membantah soalan ini kerana berbentuk spekulasi samada terdapat kos yang tinggi untuk perjalanan mangsa dari Tenom ke Bukit Aman dan saya percaya tidak relevan kepada kes ini,” katanya
12.50 tengah hari – Pihak pembela bertanyakan soalan sama ada saksi setuju untuk pertama kali bercakap kepada mangsa dalam satu jam adalah tempoh yang lama?
Saksi: Ya, saya setuju kerana waktu itu mangsa berkongsi secara terperinci apa yang berlaku kepada beliau. Ketika perbualan itu, saya lebih banyak mendengar cerita beliau daripada mencadangkan perkara. Perbualan itu menjadi sesi luahan hati seorang wanita yang dizalimi.
Mahkamah ditangguhkan sementara.
2.33 petang – Mahkamah sambung perbicaraan kes gangguan seksual Ebit Lew
Saksi pendakwaan menolak cadangan peguam bela bahawa terdapat konspirasi untuk menjatuhkan reputasi pendakwah terkenal, Ebit Lew.
Beliau malah tidak pernah menyiarkan lagi hantaran berkaitan kes gangguan seksual membabitkan Ebit selepas laporan polis dibuat oleh seorang wanita pada 7 Ogos 2021.
Saksi: Saya tidak setuju.
Pendakwa Raya, Zahida Zakaria meminta Mohd Fairuz menjelaskan kenapa tidak bersetuju bahawa dia memainkan peranan aktif dalam kes berkenaan.
“Saya sebagai pemudahcara mangsa dan kemudian mencadangkan kepada mangsa untuk berhubung terus dengan peguam MRM (Multiracial Reverted Muslims).
“Jadi saya hanya berhubung dengan wanita itu pada 26 dan 27 Julai 2021 sahaja,” katanya.
Pihak pendakwa juga turut meminta penjelasan daripada saksi bahawa beliau bersetuju membuat aturan bersama Firdaus Wong ke Bukit Aman untuk membuat laporan polis.
“Saya dan Firdaus Wong meminta peguam MRM untuk mendapatkan maklumat wanita itu dan suaminya agar dibelikan tiket kapal terbang, itu yang saya maksudkan,” katanya.
Perbicaraan ditangguhkan dan bersambung pada 9.30 pagi Khamis, esok.

You must be logged in to post a comment Login