Connect with us

Terkini

Bekas perwira negara rayu kerajaan beri ‘GL’ demi rawatan kesihatan

Seorang bekas anggota F Team, pasukan elit cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani gerakan komunis, merayu pihak kerajaan memberi surat jaminan kerajaan (GL) bagi membolehkannya mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Bekas perwira negara rayu kerajaan beri ‘GL’ demi rawatan kesihatan
Foto: ASP (B) Abdul Kalam Suhaimi.
  • Seorang bekas anggota F Team, pasukan elit cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani gerakan komunis, merayu pihak kerajaan memberi surat jaminan kerajaan (GL) bagi membolehkannya mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan.
  • ASP (B) Abdul Kalam Suhaimi berkata beliau tidak lagi mampu menanggung kos rawatan hemodialisis mencecah RM4,000 sebulan.
  • Menyedari beliau berhenti sebelum tempoh persaraan pada 1996, Abdul Kalam meminta bantuan itu dipertimbangkan atas dasar menghargai jasa dan pengorbanan beliau dan rakan sepasukannya membanteras komunis untuk negara suatu ketika dulu.
  • Beliau pernah cuba mendapatkan rawatan di Pusat Hemodialisis PULAPOL Kuala Lumpur tetapi ditolak kerana bukan pesara kerajaan.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas anggota F Team, pasukan elit cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani gerakan komunis, merayu pihak kerajaan memberi surat jaminan kerajaan (GL) bagi membolehkannya mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan.

Menderita penyakit buah pinggang, ASP (B) Abdul Kalam Suhaimi berkata beliau tidak lagi mampu menanggung kos rawatan hemodialisis mencecah RM4,000 sebulan.

Menyedari berhenti sebelum tempoh persaraan pada 1996, Abdul Kalam meminta bantuan itu dipertimbangkan atas dasar menghargai jasa dan pengorbanan beliau dan rakan sepasukannya membanteras komunis untuk negara suatu ketika dulu.

“Dulu ketika operasi F Team bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), jumlah tangkapan pengganas komunis lebih kurang 3,000 orang. Sampai penuh lokap balai waktu itu. Untuk operasi F Team secara sendiri, bilangan komunis ditangkap hidup-hidup lebih kurang 1,700 orang dan 48 komunis ditembak mati. 

“Di tangan saya sendiri berjaya menembak mati lima komunis. Tapi kini, saya dan F Team tidak dihargai,” katanya kepada Merdeka Times yang melaporkan mengenai isu kebajikan anggota pasukan khas itu yang dilihat terpinggir dari bantuan kerajaan.

Abdul Kalam adalah bekas Pegawai Turus Operasi Hutan dan Bandar  F TEAM berpangkat Inspektor ketika F Team dibubarkan pada 1995 selepas 24 tahun pasukan itu beroperasi secara rahsia bagi menangani ancaman komunis.

Fail F Team yang ditubuhkan pada 1971 dan dibubarkan pada 1995 bagi menghapuskan gerakan komunis sehingga menyaksikan peletakan senjata Parti Komunis Malaya pada 1989, telah dinyahklasifikasikan dari rahsia besar negara pada 2016. 

Berkongsi pengalamannya, Abdul Kalam berkata beliau dan tiga anggota F Team pernah menyorok selama 19 jam dalam hujan lebat untuk menembak komunis dalam Operasi Ular di kawasan jalan ke Fraser Hill (Hulu Selangor).

Berbalik kepada kehidupannya kini, Abdul Kalam berkata beliau pernah cuba mendapatkan rawatan di Pusat Hemodialisis PULAPOL Kuala Lumpur tetapi ditolak kerana bukan pesara kerajaan.

Tanpa pencen dan pendapatan tetap, Abdul Kalam merayu pihak kerajaan mempertimbangkan pemberian GL untuk membantu beliau meneruskan sisa kehidupannya. – The Merdeka Times 

Author