Connect with us

Terkini

Crackhouse dibatalkan lesen : “Kami tidak terima notis rasmi,” – pemilik kelab

Pemilik Kelab Komedi Crackhouse, Rizal Van Geyzel dan Shankar R Santhiram mendakwa mereka tidak mendapat sebarang notis atau surat rasmi berhubung pembatalan lesen kelab berkenaan di ibu negara selama-lamanya.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Crackhouse dibatalkan lesen
Foto: Pemilik Kelab Komedi Crackhouse, Rizal Van Geyzel dan Shankar R Santhiram.
  • Pemilik Kelab Komedi Crackhouse, Rizal Van Geyzel dan Shankar R Santhiram mendakwa mereka tidak mendapat sebarang notis atau surat rasmi berhubung  pembatalan lesen kelab berkenaan di ibu negara selama-lamanya.
  • Mereka hantar surat tuntutan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah untuk meminta penjelasan adakah benar kenyataan yang dibuat semalam oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Jalaluddin Alias .
  • Mereka juga tuntut notis rasmi diberikan dalam tempoh 48 jam atau jika tidak, mereka akan memohon relif daripada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan berkenaan.
  • “Sekiranya perkara-perkara seperti yang dilaporkan di Media Massa secara luas yang dinyatakan di atas adalah benar, maka hak kehidupan anakguam-anakguam kami yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan akan terjejas dengan serius,” – peguam.

KUALA LUMPUR – Pemilik Kelab Komedi Crackhouse, Rizal Van Geyzel dan Shankar R Santhiram mendakwa mereka tidak mendapat sebarang notis atau surat rasmi berhubung pembatalan lesen kelab berkenaan di ibu negara selama-lamanya.

Semalam, dilaporkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bermesyuarat pada 29 Julai lalu, bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuat kuasa 30 Julai lalu.

Malah, pemilik kelab tersebut juga disenarai hitam untuk mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya.

Berikutan itu, Rizal Van Geyzel dan Shankar R Santhiram dilaporkan telah menghantar surat tuntutan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah untuk meminta penjelasan daripada beliau sama ada kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Jalaluddin Alias ​​adalah benar.

Dalam surat tuntutan kepada Datuk Mahadi, peguam dari tetuan Karpal Singh and Co berkata, mereka menuntut supaya notis rasmi diberikan dalam tempoh 48 jam atau jika tidak, kedua-dua mereka akan memohon relif daripada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan berkenaan.

“Anakguam-anakguam kami tidak pernah menerima sebarang notis dan/atau surat rasmi untuk dimaklumkan pekara-pekara yang dinyatakan (dalam laporan media).

“Sekiranya perkara-perkara seperti yang dilaporkan di Media Massa secara luas yang dinyatakan di atas adalah benar, maka hak kehidupan anakguam-anakguam kami yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan akan terjejas dengan serius,” katanya, memetik Utusan Malaysia yang telah menghubungi tetuan Karpal Singh and Co.

Tambahnya, lagi kedua-dua anakguamnya tidak pernah didapati bersalah untuk apa-apa kesalahan yang mewajarkan keputusan-keputusan DBKL sepertimana yang dinyatakan di dalam perenggan berkenaan.

Justeru, tindakan yang diambil oleh DBKL disifatkan tidak munasabah dan rasional.

Pada 11 Julai lalu, The Merdeka Times melaporkan pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel sebelum ini sering memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman.

Video yang tersebar di media sosial menyebabkan banyak pihak tidak berpuas hati dengan persembahan komedinya.

Rizal bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan tersebut.

Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, yang digantung sementara operasi oleh DBKL pada 10 Julai lalu didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Pemilik premis itu hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi tiada lesen hiburan.

Sumber : Utusan Malaysia

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *