Antarabangsa
Padah promosi seks songsang, aktivis NGO feminis ditahan polis Zambia
Kerajaan Zambia idak akan bertolak ansur dengan penyebaran hak LGBTQ kerana ia bertentangan dengan nilai Kristian di negara itu.
- Polis Zambia menahan empat aktivis daripada kumpulan feminis yang didakwa memberi maklumat palsu tentang demonstrasi tunjuk perasaan, tapi promosi seks songsang.
- Sistah Sistah Foundation anjur demonstrasi terhadap keganasan berkaitan jantina sempena Hari Wanita Sedunia, namun pihak berkuasa berkata ia adalah protes untuk mempromosi homoseksualiti.
- Kerajaan tidak menyokong hak LGBTQ dan menyatakan pendirian itu sejak dua tahun lalu. – Menteri Keselamatan Dalam Negeri Zambia, Jack Mwiimbu.
- Keempat-empat suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi.
- Tiga suspek didakwa menyampaikan maklumat palsu dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tujuh tahun.
LUSAKA – Kerajaan Zambia berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan penyebaran hak LGBTQ kerana ia bertentangan dengan nilai Kristian di negara itu.
VOA News melaporkan amaran itu dikeluarkan sehari selepas polis menahan empat aktivis daripada kumpulan feminis yang didakwa memberi maklumat palsu tentang rancangan tunjuk perasaan.
Kumpulan itu mengadakan demonstrasi yang dibenarkan menentang keganasan berkaitan jantina pada Ahad sempena Hari Wanita Sedunia, namun pihak berkuasa berkata ia adalah protes mempromosi homoseksualiti.
Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Jack Mwiimbu menberitahu VOA pada Rabu lalu bahawa kerajaan tidak menyokong hak LGBTQ dan menyatakan pendirian itu sejak pihaknya berkuasa hampir dua tahun lalu.
Beliau mengecam perarakan dianjurkan Sistah Sistah Foundation, mengatakan protes itu bertentangan dengan nilai dan undang-undang Zambia.
“Saya memberi amaran kepada masyarakat supaya tidak melanggar undang-undang dengan sengaja atas kesempatan yang membenarkan kebebasan bersuara dan berhimpun,” kata Mwiimbu.
Timbalan Jurucakap Polis Zambia, Dan Mwale memberitahu penunjuk perasaan tidak mengikut peraturan ditetapkan iaitu membenarkan mereka membuat protes berkenaan hak seksual dan jantina tetapi bukan hak LGBTQ.
Sistah Sistah Foundation enggan mengulas, namun mengeluarkan kenyataan di Twitter mengatakan pihaknya terkejut kerana perarakan itu dikatakan bertujuan menyebarkan tentang keganasan seksual terhadap wanita, bertukar menjadi gelombang kebencian dalam kalangan masyarakat, terutama dalam talian.
Kumpulan itu berkata keempat-empat suspek dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu dan akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi, di mana tiga suspek didakwa menyampaikan maklumat palsu kepada pegawai awam dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara tujuh tahun.
Perarakan yang disertai 300 individu itu menimbulkan perdebatan di Zambia dengan majoriti masyarakat menuduh Sistah Sistah Foundation mempromosi hak LGBTQ dan menggesa organisasi itu diharamkan, manakala sebahagiannya berpendapat Zambia perlu membenarkan isu sedemikian dibincangkan masyarakat.
Sumber: VOA News