Terkini
Luluskan segera RUU Kawalan Tembakau sebelum kenakan cukai vape – Presiden I-Medik
Kerajaan digesa menguatkuasakan undang-undang kawalan produk mengandungi nikotin serta meluluskan segera RUU Kawalan Tembakau atau Generation End Game sebelum mengenakan cukai terhadap vape bernikotin.

- Gesaan itu dibuat Presiden, Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Profesor Dr Azizi Ayob yang turut menegaskan jika kita hanya melihat pada keuntungan jangka pendek melalui kutipan cukai, negara sebenarnya perlu menanggung lebih banyak kos dalam merawat kesan-kesan merokok dan ketagihan terhadap nikotin.
- I-Medik melihat penguatkuasaan akta berkenaan terhadap cecair vape bernikotin masih lemah dan tiada kawalan jelas menyebabkan cecair vape ini dijual sewenang-wenangnya kepada masyarakat tanpa kawalan serta berselindung di sebalik produk cecair vape tanpa nikotin.
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menguatkuasakan undang-undang kawalan produk mengandungi nikotin serta meluluskan segera RUU Kawalan Tembakau atau Generation End Game sebelum mengenakan cukai terhadap vape bernikotin.
Gesaan itu dibuat Presiden, Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Profesor Dr Azizi Ayob yang turut menegaskan bahawa jika kita hanya melihat pada keuntungan jangka pendek melalui kutipan cukai, negara sebenarnya perlu menanggung lebih banyak kos dalam merawat kesan-kesan merokok dan ketagihan terhadap nikotin.
Katanya, kita wajar mencontohi Singapura yang sehingga kini mengharamkan penjualan, penggunaan dan pemilikan vape dan rokok elektronik tanpa mempertimbangkan kutipan cukai dari bahan yang bersifat ketagihan itu.
“Berkenaan kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkenaan penjualan vape bernikotin secara haram dengan jumlah jualan kira-kira RM 2 billion, jika kita hanya melihat pada keuntungan jangka pendek melalui kutipan cukai, negara sebenarnya perlu menanggung lebih banyak kos dalam merawat kesan-kesan merokok dan ketagihan terhadap nikotin.
“Peniaga vape mendakwa vape yang dijual hanya mengandungi perisa dan tiada kandungan nikotin untuk menyebabkan ketagihan.
“Namun begitu, pendedahan bahan dan alat vape yang mempunyai bentuk serta perisa yang menarik kepada golongan rentan seperti kanak-kanak dan remaja boleh mendorong kepada pembentukan tabiat menghisap yang akhirnya boleh menjurus kepada perbuatan menghisap rokok atau vape bernikotin,” katanya di Facebook pada Jumaat lalu.
Katanya, kekurangan penguatkuasaan undang-undang yang betul-betul boleh mengawal selia produk vape dijual di pasaran menyebabkan tiada sebarang jaminan vape didakwa bebas nikotin sebenarnya tidak langsung mempunyai kandungan nikotin dalam cecairnya.
Dr Azizi menjelaskan bahawa cecair vape yang mengandungi nikotin sebenarnya berada di bawah Akta Racun 1952 di mana pembekalannya terhad untuk pegawai perubatan dan pegawai farmasi sahaja.
Bagaimanapun I-Medik melihat penguatkuasaan akta berkenaan terhadap cecair vape bernikotin masih lemah dan tiada kawalan yang jelas menyebabkan cecair vape ini dijual dengan sewenang-wenangnya kepada masyarakat tanpa kawalan serta berselindung di sebalik produk cecair vape tanpa nikotin.
Sebelum ini, Perdana Menteri dilapor berkata kerajaan akan mengenakan cukai terhadap produk cecair bagi rokok elektronik ataupun vape yang mengandungi nikotin.
Katanya, kerajaan menyokong penuh pelaksanaan GEG selain bersetuju menyalurkan hasil cukai itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – The Merdeka Times
Sumber: Facebook I-Medik

You must be logged in to post a comment Login