Terkini
Guru hisap vape di sekolah boleh didenda RM10,000 atau dipenjara – KPM
- Guru didapati menghisap vape dan merokok dalam kawasan sekolah boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara sehingga dua tahun, berdasarkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan guru yang menggunakan vape, khususnya secara terbuka atau di hadapan murid kerana telah melanggar Standard Guru Malaysia (SGM) yang menekankan peranan guru sebagai teladan sahsiah.
- “KPM juga dalam proses meminda Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) dengan memasukkan dalam subperaturan bagi larangan merokok termasuk apa-apa rokok, perkakasan, alat elektronik dan cecair bagi vape.
- “Larangan ini termasuk penjualan vape kepada individu bawah umur 18 tahun dan menguatkuasakan tindakan terhadap premis yang menjual vape dalam jarak 40 meter dari sempadan atau pagar luar sekolah,” katanya.
KUALA LUMPUR — Guru yang didapati menghisap vape dan merokok dalam kawasan sekolah boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau dipenjara sehingga dua tahun, berdasarkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan guru yang menggunakan vape, khususnya secara terbuka atau di hadapan murid.
Ini kerana tindakan tersebut telah melanggar Standard Guru Malaysia (SGM) yang menekankan peranan guru sebagai teladan sahsiah.
“KPM juga dalam proses meminda Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) dengan memasukkan dalam subperaturan bagi larangan merokok termasuk apa-apa rokok, perkakasan, alat elektronik dan cecair bagi vape.
“Pindaan baharu ini selaras dengan Penguatkuasaan Akta 852 atau Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Oktober 2024.
“Larangan ini termasuk penjualan vape kepada individu bawah umur 18 tahun dan menguatkuasakan tindakan terhadap premis yang menjual vape dalam jarak 40 meter dari sempadan atau pagar luar sekolah,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Dewan Rakyat.
Jawapan bertulis itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan langkah diambil Kementerian bagi membendung budaya penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah, khususnya apabila terdapat dakwaan bahawa segelintir guru turut menggunakan vape secara terbuka yang memberi contoh negatif kepada murid dan menjejaskan kredibiliti institusi pendidikan.
Mengulas lanjut, KPM berkata pihaknya mengambil pendekatan proaktif terhadap penggunaan rokok dan rokok elektronik (vape) dalam kalangan murid serta warga sekolah kerana ia memberi impak negatif kepada kesihatan, imej profesion perguruan dan suasana pembelajaran yang selamat.
Oleh itu, antara tindakan diambil adalah menguatkuasakan Surat Siaran Bilangan 17 Tahun 2015 yang melarang penggunaan vape di sekolah, dan mengimplementasikan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 5 Tahun 1997: Sekolah Sebagai Kawasan Larangan Merokok.
Selain itu, KPM turut menjalankan program pembangunan sahsiah murid seperti Program Remaja Unggul Aspirasi Negara (Katakan TIDAK kepada dadah, rokok dan vape), Program 5 Minit Antidadah, Program Skim Lencana Antidadah dan Kempen Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vape melalui aktiviti di perhimpunan, kelas sokongan, ceramah, pameran dan kurikulum sekolah bagi membina kesedaran serta jati diri murid.
Dalam masa sama, KPM mengharapkan kerjasama masyarakat serta pihak berkuasa tempatan bagi memantau pembelian dan penjualan vape terhadap murid sekolah, selain ibu bapa dan penjaga juga perlu sentiasa mengawasi perubahan tingkah laku anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam ketagihan menghisap vape. — The Merdeka Times