Terkini
Raih untung besar punca peniaga vape tidak serik walau berulang kali berdepan tindakan
- “Keuntungan jualan vape besar dan kalau kita buat rampasan pun, peniaga masih ada untung.” – Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah.
- Hilmi berkata ada peniaga yang berselindung di sebalik perniagaan aksesori telefon atau minyak wangi, namun pada masa sama turut menjual vape kepada pelanggan.
- Jelas beliau, meskipun peniaga tersebut dikenakan tindakan kompaun dan diarah menutup premis, mereka akan kembali beroperasi menggunakan premis serta nama pemilik lain.
KUALA LUMPUR — Peniaga vape dipercayai tidak serik menjalankan perniagaan itu meskipun berulang kali dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa kerana memperoleh keuntungan lumayan daripada jualan produk tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata ada peniaga yang berselindung di sebalik perniagaan aksesori telefon atau minyak wangi, namun pada masa sama turut menjual vape kepada pelanggan.
Jelas beliau, meskipun peniaga tersebut dikenakan tindakan kompaun dan diarah menutup premis, mereka akan kembali beroperasi menggunakan premis serta nama pemilik lain.
“Keuntungan jualan vape besar dan kalau kita buat rampasan pun, peniaga masih ada untung.
“Biasanya orang (peniaga) sama, mereka tukar pendaftaran perniagaan dan premis, guna proksi serta berselindung di sebalik produk jualan minyak wangi atau aksesori telefon.
“Kita buat serbuan hasil aduan awam dan operasi berkala, jika ada pesalah berulang, selain dikenakan kompaun, premis mereka juga ditutup,” katanya dipetik Berita Harian selepas merasmikan pelancaran Operasi Selamat Paru-paru (Op Selamat PaPa) peringkat Kelantan 2025 di Dewan Utama Kompleks Islam Jubli Perak, Panji di Kota Bharu, hari ini.
Mengulas lanjut, Hilmi berkata sepanjang tahun ini sehingga Julai lalu, sebanyak 65 operasi dijalankan majlis daerah dengan rampasan peranti vape berjumlah 2,425, manakala 42,159 pula membabitkan nikotin.
Beliau berkata, kerajaan negeri sudah menguatkuasakan larangan penjualan rokok elektronik dan shisha sejak 2015 di semua premis perniagaan, selain itu terdapat 28 tempat larangan merokok juga diwartakan mengikut Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852). — The Merdeka Times