Terkini
Isu pemberian kontrak NIISe : Tiada ahli keluarga Muhyiddin dalam IRIS Corporation Berhad
Pengerusi Perikatan Nasional (PN),Tan Sri Muhyiddin Yassin, menafi dakwaan terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.
- Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, nafi dakwaan terlibat pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.
- Muhyiddin Yassin berkata, sebagai Perdana Menteri pada masa itu, beliau sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka.
- Katanya, proses perolehan kontrak itu dibuat ikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian berkaitan.
- “Selain itu, tiada mana-mana ahli keluarga saya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham,” katanya.
KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN),Tan Sri Muhyiddin Yassin, menafi dakwaan terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.
Muhyiddin Yassin berkata, sebagai Perdana Menteri pada masa itu, beliau sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka.
Katanya, proses perolehan kontrak itu dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian berkaitan.
Beliau berkata, proses itu bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidang kuasanya sebagai Perdana Menteri pada waktu itu.
“Selain itu, tiada mana-mana ahli keluarga saya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.
“Bagaimana saya yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarga saya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan keluarga?
“Saya percaya ini adalah sebahagian daripada siri tohmahan jahat terhadap saya yang dilakukan oleh kerajaan PH-BN pimpinan Anwar Ibrahim,” katanya dalam hantaran di Facebook, pada Khamis.
Kata beliau, tohmahan itu sengaja dibuat bagi menutup kepincangan melampau Perdana Menteri dan anggota kerajaannya yang melantik anak-beranak dalam kerajaan termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan.
Muhyiddin Yassin turut menyifatkan tohmahan itu sebagai fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencabar maruah beliau dan keluarga.
Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pemberian satu kontrak lumayan untuk menantu seorang bekas perdana menteri.
Laporan itu berkata, siasatan badan anti-rasuah itu memfokuskan kemungkinan berlaku salah guna kuasa berkaitan NIISe. – The Merdeka Times
Sumber : Facebook Muhyiddin Yassin