Terkini
Serang rakan, Letak jawatan : Jangan ugut rakan kerajaan – Asyraf Wajdi
- “Tidak perlu sebarang bentuk ugutan, tohmahan mahupun kata nista antara sesama parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan walaupun masing-masing membawa haluan berbeza di peringkat Pilihanraya Negeri di Sabah, Johor mahupun Negeri Sembilan,” – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
- Kenyataan itu dibuat susulan amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen.
- Anwar dilaporkan berkata, mana-mana pihak yang melakukan perkara berkenaan akan diminta berundur daripada jawatan yang disandang.
KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak mengeluarkan sebarang ugutan, tohmahan atau kata-kata nista terhadap satu sama lain meskipun membawa haluan berbeza dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Kenyataan itu dibuat susulan amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen.
Anwar dilaporkan berkata, mana-mana pihak yang melakukan perkara berkenaan akan diminta berundur daripada jawatan yang disandang.
Mengulas perkara itu, Asyraf Wajdi berkata, perbezaan pendirian politik dalam PRN di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan tidak seharusnya menjejaskan hubungan antara parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Justeru, tidak perlu sebarang bentuk ugutan, tohmahan mahupun kata nista antara sesama parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan walaupun masing-masing membawa haluan berbeza di peringkat Pilihan Raya Negeri di Sabah, Johor mahupun Negeri Sembilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau menegaskan, Kerajaan Perpaduan akan terus berjalan dan berfungsi selagi semua parti menghormati intipati perjanjian yang dimeterai.
Menurutnya, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dimeterai pada 22 November 2022 bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya sebuah kerajaan stabil dibentuk demi kesejahteraan rakyat.
Perjanjian itu dimeterai selepas negara berdepan situasi Parlimen tergantung selama lima hari apabila tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.
Asyraf Wajdi berkata, gabungan 30 Ahli Parlimen BN dan 82 Ahli Parlimen PH membentuk majoriti mudah 112 kerusi, sekali gus membolehkan Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Parti-parti lain termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), WARISAN serta beberapa Ahli Parlimen Bebas kemudiannya menyertai Kerajaan Perpaduan pada 25 November 2022, menjadikan keseluruhan sokongan sebanyak 148 Ahli Parlimen.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan perjanjian kerjasama itu hanya berkuat kuasa sehingga PRU akan datang atau apabila penggal kerajaan semasa tamat.
“Dengan kata lain, ia tidak mengikat mana-mana parti untuk menentukan hala tuju politik masing-masing apabila sampai tarikh pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata, semua portfolio menteri dan pengerusi agensi kerajaan hendaklah ditentukan berdasarkan persetujuan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Sebarang perubahan atau pengguguran jawatan juga perlu mendapat persetujuan parti-parti berkenaan.
Pada masa sama, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan wajib menghormati prinsip asas Perlembagaan Persekutuan, khususnya kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, kedaulatan Raja-Raja Melayu serta Bahasa Melayu.
Asyraf Wajdi berkata, parti-parti terbabit perlu terus komited memastikan kestabilan politik, memajukan negara dan mensejahterakan rakyat tanpa meremehkan atau menafikan peranan mana-mana parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.-The Merdeka Times