Antarabangsa
Iran: Puluhan ribu banduan diberikan pengampunan
Pemimpin tertinggi Iran memberi pengampunan kepada puluhan ribu banduan, termasuk sebilangan yang ditahan ketika bantahan antikerajaan.
- Pengampunan diluluskan oleh Ayatollah Ali Khamenei itu mempunyai syarat iaitu ia tidak terpakai kepada mana-mana individu memiliki dua kerakyatan yang ditahan di Iran.
- Individu yang melakukan ‘kerosakan di muka bumi’ penunjuk perasaan di mana empat daripada mereka sudah dihukum mati, juga tidak akan diampunkan.
- Ia juga tidak terpakai kepada mereka yang dituduh ‘melakukan pengintipan untuk agensi asing’ atau ‘bersekutu dengan kumpulan yang memusuhi Republik Islam.
- “Mereka yang tidak menunjukkan penyesalan atas aktiviti mereka dan memberi komitmen secara bertulis untuk tidak mengulangi kegiatan berkenaan, tidak akan diampunkan,” kata Timbalan Ketua Kehakiman, Sadeq Rahimi
DUBAI: Pemimpin tertinggi Iran memberi pengampunan kepada puluhan ribu banduan, termasuk sebilangan yang ditahan ketika bantahan antikerajaan, baru-baru ini, lapor agensi berita IRNA.
Bagaimanapun, pengampunan diluluskan oleh Ayatollah Ali Khamenei itu mempunyai syarat tertentu, menurut perincian diumumkan dalam laporan media yang menyatakan antara lain ia tidak terpakai kepada mana-mana individu memiliki dua kerakyatan yang ditahan di Iran.
IRNA melaporkan, individu yang didakwa ‘melakukan kerosakan di muka bumi’ – pertuduhan besar dikenakan ke atas beberapa penunjuk perasaan di mana empat daripada mereka sudah dihukum mati, juga tidak akan diampunkan.
Selain itu, ia juga tidak terpakai kepada mereka yang dituduh ‘melakukan pengintipan untuk agensi asing’ atau ‘bersekutu dengan kumpulan yang memusuhi Republik Islam berkenaan.
Agensi berita aktivis HRANA mendakwa, kira-kira 20,000 orang ditahan berkait demonstrasi itu di mana pihak berkuasa menuduh ia dicetuskan oleh musuh asing Iran.
Ketua Kehakiman, Gholamhossein Mohseni Ejei dalam sepucuk surat kepada Khamenei bagi memohon pengampunan itu, menulis:
“Dalam beberapa kejadian, baru-baru ini, sejumlah orang terutama golongan muda, telah melakukan tindakan salah dan jenayah akibat indoktrinasi serta propaganda musuh.
“Bantahan telah menjadi perlahan sejak hukuman gantung bermula.
“Sejak rancangan musuh asing dan arus antirevolusi berjaya digagalkan, ramai daripada belia terbabit kini menyesali tindakan mereka,” katanya.
Khamenei meluluskan pengampunan itu sempena sambutan ulang tahun Revolusi Islam 1979. Namun, ia tidak akan terpakai kepada mereka yang berdepan pertuduhan ‘mengintip untuk agensi asing, mempunyai hubungan langsung dengan ejen asing, melakukan pembunuhan dan kecederaan dengan niat, serta melakukan pemusnahan dan pembakaran harta benda negara.’
“Mereka yang tidak menunjukkan penyesalan atas aktiviti mereka dan memberi komitmen secara bertulis untuk tidak mengulangi kegiatan berkenaan, tidak akan diampunkan,” kata Timbalan Ketua Kehakiman, Sadeq Rahimi, menurut laporan media. – REUTERS
Sumber: Berita Harian