Antarabangsa
Rejim Israel roboh rumah keluarga pejuang Palestin lancar serangan
Israel semalam bersedia merobohkan rumah didiami keluarga seorang pejuang Palestin di timur Baitulmaqdis, yang didakwa membunuh tujuh orang di sebuah rumah ibadat Yahudi.
- Israel semalam bersedia merobohkan rumah didiami keluarga seorang pejuang Palestin, yang didakwa membunuh tujuh orang di sebuah rumah ibadat Yahudi.
- Israel mengumumkan rumah seorang remaja lelaki yang menembak dua warga Israel, turut berdepan tindakan sama ‘walaupun serangan itu hanya menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa’.
- Tindakan itu adalah sebahagian langkah menghukum keluarga pejuang Palestin susulan lonjakan keganasan dalam konflik Israel-Palestin menyaksikan puluhan warga Palestin terkorban bulan ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan global.
BAITULMAQDIS: Israel semalam bersedia merobohkan rumah didiami keluarga seorang pejuang Palestin di timur Baitulmaqdis, yang didakwa membunuh tujuh orang di sebuah rumah ibadat Yahudi.
Selain itu, Israel turut mengumumkan rumah seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang menembak dua warga Israel, turut berdepan tindakan sama ‘walaupun serangan itu hanya menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa’.
Remaja itu ditahan dan ditembak selepas serangan di kejiranan Silwan di timur Baitulmaqdis.
Tindakan merobohkan rumah itu adalah sebahagian langkah menghukum keluarga pejuang Palestin susulan lonjakan keganasan dalam konflik Israel-Palestin yang menyaksikan puluhan warga Palestin terkorban bulan ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan global.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menerusi panggilan telefon kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam, menggesa semua pihak mengelak ‘keganasan terus memuncak’, kata pejabat presiden.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, yang dijadual tiba di Baitulmaqdis hari ini, akan membincangkan langkah bagi meredakan ketegangan, manakala Puas Francis semalam, kesal dengan ‘kadar kematian yang terus meningkat’.
Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov menerusi panggilan telefon kepada rakan sejawatnya di Israel dan Palestin turut menggesa ‘tanggungjawab maksimum’ bagi mengakhiri keganasan.
Tindakan Kabinet Netanyahu menghukum ‘keluarga pejuang yang melakukan serangan’ dibuat susulan dua tembakan yang menyasarkan warga Israel.
Kerajaan bercadang membatalkan hak bagi faedah keselamatan sosial terhadap keluarga penyerang, selain sudah mempertimbangkan untuk memudahkan akses senjata api kepada orang awam Israel.
Menerusi tindakan pertamanya, Kabinet Netanyahu berkata, rumah Khayri Alqam, 21, yang ditembak mati oleh polis susulan serangan Jumaat ‘akan disita serta-merta sebelum kediaman di timur Baitulmaqdis itu dirobohkan’.
Polis berkata, ibu kepada Alqam adalah antara lima daripada 42 suspek yang ditahan selepas kes tembakan di penempatan Neve Yaakov dan masih dalam tahanan, semalam.
Walaupun Israel kerap merobohkan kediaman rakyat Palestin yang membunuh warganya, proses merobohkan rumah lazimnya dibuat selepas notis awal diberikan kepada keluarga selain membenarkan rayuan dikemukakan.
Namun, dalam kes rumah Alqam, pakar undang-undang, Dani Shenhar, mewakili kumpulan aktivis Israel, HaMoked, berkata tindakan dalam tempoh semalaman itu menunjukkan hasrat nekad Israel untuk ‘membalas dendam’.
“Tindakan ini dilakukan ‘tanpa menghormati undang-undang’ dan HaMoked akan memfailkan bantahan kepada peguam negara Israel.
Pergolakan di bumi Palestin dijangka menjadi agenda utama apabila Blinken bertemu Netanyahu, sebelum ke Ramallah di Tebing Barat bagi menemui Presiden Palestin, Mahmud Abbas. – AFP
Sumber: Berita Harian