Antarabangsa
Jemaah muslim diserang, dipaksa laung ‘Jai Shri Ram’ selepas solat tarawih

- “Sebaik sahaja jemaah keluar dari masjid, batu-batu bertaburan dilemparkan dari bumbung rumah berdekatan. Tidak lama kemudian, beberapa penyerang muncul di hadapan kami sambil menghunus pisau. Mereka mengugut kami, termasuk kanak-kanak, untuk melaungkan slogan Hindu ‘Jai Shri Ram’,” kata seorang saksi kepada wartawan.
- Mangsa turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pihak polis yang enggan menamakan mana-mana suspek dan hanya merekodkan laporan terhadap individu tidak dikenali.
AHMEDABAD – Sekumpulan jemaah Muslim di Ahmedabad, Gujarat, dilaporkan telah diancam dan diserang dengan lontaran batu oleh ekstremis Hindutva selepas menunaikan solat Tarawih.
Insiden ini berlaku di kawasan Vatva pada malam Isnin, 3 Mac, ketika para jemaah sedang dalam perjalanan pulang selepas solat tarawih.
Bercakap kepada media, saksi kejadian menyatakan bahawa sebaik sahaja mereka meninggalkan masjid, kumpulan ekstremis melemparkan batu ke arah jemaah.
Mereka turut mendakwa bahawa penyerang menyerang orang awam, termasuk golongan tua dan kanak-kanak, serta memaksa mereka dengan ancaman pisau untuk melaungkan “Jai Shri Ram”.
Selain itu, para penyerang turut melaungkan slogan-slogan yang menyeru kepada keganasan terhadap umat Islam, terutamanya mereka yang memakai kopiah.
“Sebaik sahaja jemaah keluar dari masjid, batu-batu bertaburan dilemparkan dari bumbung rumah berdekatan. Tidak lama kemudian, beberapa penyerang muncul di hadapan kami sambil menghunus pisau. Mereka mengugut kami, termasuk kanak-kanak, untuk melaungkan slogan Hindu ‘Jai Shri Ram’,” kata seorang saksi kepada wartawan.
Menurut saksi, serangan itu menyebabkan tiga lelaki Muslim cedera, termasuk seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang terkena batu di bahagian belakang.
“Serangan yang berpunca daripada kebencian agama ini telah menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat Muslim tempatan, dengan ramai yang bimbang akan keselamatan mereka semasa solat Tarawih pada waktu malam,” tambah mereka.
Mangsa turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pihak polis yang didakwa gagal bertindak sewajarnya. Mereka mendakwa bahawa ketika cuba membuat laporan mengenai serangan itu, pihak berkuasa enggan menamakan mana-mana suspek dan hanya merekodkan laporan terhadap individu tidak dikenali.
Seorang lagi mangsa turut mendakwa bahawa polis cuba memujuk mereka supaya mengubah kenyataan dan tidak membesar-besarkan isu tersebut.-The Merdeka Times
