Connect with us

Politik

Isu ‘sandwich ham’: Halal bukan perkara remeh – Presiden WAFIQ

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Presiden WAFIQ, Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar
  • Presiden WAFIQ, Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar menegaskan justeru apabila sijil halal dipalsukan dan ada pihak yang tidak mengambil peduli tentang undang-undang serta Akta terkait halal, kita tidak sewajarnya memandang remeh kesalahan itu kerana halal bukan urusan remeh.
  • Umat Islam berpegang kepada pentingnya halal berdasarkan ayat al-Quran di mana Allah SWT menjelaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 168 : “Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada dibumi yang halal lagi baik; dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”
  • Kerana ia bukan perkara remeh jugalah industri halal Malaysia diunjurkan berkembang kepada AS$113.2 bilion (RM500.34 bilion) menjelang 2030, dengan sumbangan KDNK sebanyak 8.1 peratus menjelang 2025, melalui Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030).
  • “Kerana itu juga kita mempunyai pelbagai institut berkait halal di Malaysia. Institut Fatwa dan Halal di USIM atau ringkasannya IFFAH diasaskan untuk mewujudkan kepakaran holistik khusus di peringkat global yang memberi manfaat kepada orang ramai dalam hal fatwa dan halal,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

KUALA LUMPUR — Susulan kontroversi penjualan produk sandwic “Ham & Cheese” di premis runcit di Universiti Malaya (UM) yang disahkan JAKIM tidak mempunyai sijil halal namun ditampal logo berkenaan, Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) menegaskan bahawa halal bukan urusan remeh.

Justeru apabila sijil halal dipalsukan dan ada pihak yang tidak mengambil peduli tentang undang-undang serta Akta terkait halal, kita tidak sewajarnya memandang remeh kesalahan itu kerana halal bukan urusan remeh, tegas Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Rafidah berkata umat Islam berpegang kepada pentingnya halal berdasarkan ayat al-Quran di mana Allah SWT menjelaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 168 : “Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada dibumi yang halal lagi baik; dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. “

Katanya, kerana ia bukan perkara remeh jugalah industri halal Malaysia diunjurkan berkembang kepada AS$113.2 bilion (RM500.34 bilion) menjelang 2030, dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus menjelang 2025, melalui Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030).

“Kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran halal global, dan memanfaatkan populasi Muslim global yang berjumlah dua bilion. Kepercayaan dunia luar kepada sijil halal juga harus terjaga.

“Kerana itu juga kita mempunyai pelbagai institut berkait halal di Malaysia. Institut Fatwa dan Halal di USIM atau ringkasannya IFFAH diasaskan untuk mewujudkan kepakaran holistik khusus di peringkat global yang memberi manfaat kepada orang ramai dalam hal fatwa dan halal.

“Selain USIM, banyak Institusi Pengajian Awam dan Swasta yang turut mempunyai institut atau pusat pengurusan halal mereka sendiri. Antaranya Halal Products Research Institute (HPRI) di UPM; Institut Pengurusan Halal (Institute Of Halal Management – IHM) di UUM; International Institute for Halal Research and Training (INHART) di IIUM; University of Malaya Halal Research Centre (UMHRC) di UM; Halal Science Centre di University of Cyberjaya; ICHLAS – International Centre for Halal Studies di MSU,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Khamis.

 

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar

Kenyataan itu ditulis bagi mengulas kenyataan JAKIM yang sekali lagi menegaskan bahawa produk sandwic ‘ham & cheese’ terbabit bukan sahaja tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), malah syarikat yang menghasilkan produk tersebut juga bukan pemegang SPHM. Ia respon balas kepada laporan akhbar yang dikeluarkan Berita Harian bertarikh 15 Januari 2025 bertajuk “Bahan mentah sandwich kontroversi ada sijil halal JAKIM”.

Mengulas lanjut, Rafidah berkata bilangan institut yang banyak itu juga membuktikan bahawa halal bukan perkara remeh dan skopnya luas serta sentiasa berkembang.

“Ia meliputi pelbagai produk seperti Halal Pharmaceutical, Halal Cosmeceutical, Muslim-friendly Tourism, logistics, biotechnology in producing kits detecting impermissible ingredients dan sebagainya bahkan banyak IPTA/IPTS menawarkan ijazah dalam bidang halal.

“Saya sempat ke Jepun beberapa tahun sudah. Ada 7 institusi di sana menawarkan khidmat pensijilan halal. Di Tokyo ada 5, di Osaka 1 dan di Fukuoka 1. Walaupun Muslim adalah minoriti di sana.

“Jadi apabila sijil halal dipalsukan, ada pihak yang tidak ambil peduli tentang undang-undang dan Akta terkait halal, kita tidak wajar memandang remeh kesalahan itu kerana halal itu bukan urusan remeh,” katanya. — The Merdeka Times

Author