Politik
Isu ‘ham’ contoh jelas betapa mudahnya rakyat Malaysia ‘tercuit’ – Ahli Parlimen DAP

- Ahli Parlimen DAP dari Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata kontroversi baru-baru ini berhubung pelabelan “ham” pada produk makanan merupakan contoh jelas betapa mudahnya negara kita dimanipulasi atau terpicu emosi disebabkannya.
- “Daripada menjadi peluang untuk mendidik dan membina kefahaman, ia bertukar menjadi satu lagi titik perbalahan yang dipenuhi dengan kemarahan dan perpecahan, didorong oleh ketidakpercayaan dan kejahilan.
- “Kerapuhan yang semakin meningkat ini sangat bertentangan dengan asas yang menjadi tunjang kepada pembinaan negara kita,” katanya.
- Peningkatan sikap tidak bertoleransi ini tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya ia berkembang apabila orang baik berdiam diri, apabila sesetengah ahli politik menggunakan isu kaum dan agama sebagai alat untuk berkuasa dan apabila masyarakat gagal menolak kebencian.
KUALA LUMPUR — Malaysia yang dahulunya diraikan sebagai mercu tanda keharmonian pelbagai budaya, kini berdepan dengan peningkatan sikap tidak bertoleransi terhadap kaum dan agama.
Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Syerleena Abdul Rashid berkata perpaduan yang mengikat kita bersama sedang diuji dan ia tidak seperti sebelum ini di mana sekarang insiden kebencian, salah faham, dan perpecahan semakin kerap berlaku.
Syerleena berkata kontroversi baru-baru ini berhubung pelabelan “ham” pada produk makanan merupakan contoh jelas betapa mudahnya negara kita dicuit atau terpicu emosi disebabkannya.
“Daripada menjadi peluang untuk mendidik dan membina kefahaman, ia bertukar menjadi satu lagi titik perbalahan yang dipenuhi dengan kemarahan dan perpecahan, didorong oleh ketidakpercayaan dan kejahilan.
“Kerapuhan yang semakin meningkat ini sangat bertentangan dengan asas yang menjadi tunjang kepada pembinaan negara kita,” katanya dipetik The Vibes yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris semalam.
Syerleena berkata Malaysia adalah sebuah persekutuan yang terbentuk daripada usaha masyarakat daripada pelbagai latar belakang yang bekerjasama membina masa depan lebih baik.
“Melayu, Cina, dan India, bersama komuniti peribumi dan lain-lain, membina sistem dan struktur yang menjadi tulang belakang negara kita.
“Kerja keras dan pengorbanan mereka berpaksikan kepercayaan bersama bahawa kepelbagaian ini boleh menjadi asas kepada sebuah negara yang bersatu padu.
“Namun, pada hari ini, rasa hormat, yang dahulunya menjadi teras masyarakat kita, semakin sukar ditemui,” katanya.
Daripada meraikan perbezaan, Syerleena berkata ramai yang memilih untuk mengeksploitasi perbezaan itu demi kepentingan peribadi atau politik.
Beliau berkata ruang bersama kita sama ada di sekolah, tempat kerja, atau platform dalam talian semakin dicemari oleh kecurigaan, kebencian, dan permusuhan.
Katanya, peningkatan sikap tidak bertoleransi itu tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya ia berkembang apabila orang baik berdiam diri, apabila sesetengah ahli politik menggunakan isu kaum dan agama sebagai alat untuk berkuasa dan apabila masyarakat gagal menolak kebencian.
“Kita tidak boleh membiarkan kerosakan ini berterusan. Taruhannya terlalu besar. Kita mesti berdiri teguh menentang kebencian dalam apa jua bentuk dan menolak untuk membiarkan kebencian memecahbelahkan kita.
“Mereka yang mengeksploitasi isu kaum dan agama demi kepentingan peribadi atau politik mesti dipertanggungjawabkan tanpa kompromi,” katanya.
Universiti Malaya (UM) pada 10 Januari lalu dilaporkan menutup serta merta dua premis jualan runcit 24-jam berikutan dakwaan penemuan produk pek sandwich yang memaparkan label “sandwich ham & cheese” dan keraguan terhadap penggunaan logo halal bagi produk tersebut yang didapati di gedung berkenaan.
Berikutan itu, JAKIM turut mengesahkan produk makanan ‘ham dan cheese’ terbabit didapati tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, lapor Kosmo. — The Merdeka Times
