Terkini
Pelajar jatuh sekolah alami tekanan, kemurungan
- Siasatan awal insiden seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan sebuah sekolah menengah di George Town, semalam, tiada kaitan dengan perbuatan buli.
- Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata berdasarkan maklumat diperoleh pihaknya daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, dipercayai remaja berusia 14 tahun itu mengalami tekanan emosi dan kemurungan.
- JPN Pulau Pinang masih menjalankan siasatan lanjut.
- “Berdasarkan siasatan awal, pelajar perempuan itu dipercayai mengalami tekanan emosi dan dia dalam keadaan begitu (telah ada kemurungan). Maksudnya memang telah ada unsur tekanan emosi sebelum kejadian ini berlaku dan tiada unsur buli dalam kes ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di George Town hari ini.
- Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad sebelum ini berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) dan siasatan polis di tempat kejadian serta pemeriksaan terhadap badan si mati mendapati tiada unsur jenayah.
- Abdul Rozak menerusi kenyataan hari ini memaklumkan polis turut menemukan satu nota dipercayai ditinggalkan pelajar perempuan itu di lokasi kejadian yang menyatakan mangsa tertekan dalam pelajarannya.
GEORGE TOWN — Siasatan awal insiden seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan sebuah sekolah menengah di sini, semalam, tiada kaitan dengan perbuatan buli.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh pihaknya daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, dipercayai remaja berusia 14 tahun itu mengalami tekanan emosi dan kemurungan.
Beliau yang juga Pengerusi Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata JPN Pulau Pinang bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut.
“Berdasarkan siasatan awal, pelajar perempuan itu dipercayai mengalami tekanan emosi dan dia dalam keadaan begitu (telah ada kemurungan). Maksudnya memang telah ada unsur tekanan emosi sebelum kejadian ini berlaku dan tiada unsur buli dalam kes ini.
“Selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu, pegawai daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terus berada di lokasi kejadian untuk menenangkan warga sekolah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian 5.57 petang itu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan sebuah sekolah menengah persendirian di Jelutong, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad sebelum ini berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) dan siasatan polis di tempat kejadian serta pemeriksaan terhadap badan si mati mendapati tiada unsur jenayah.
Abdul Rozak menerusi kenyataan hari ini memaklumkan polis turut menemukan satu nota yang dipercayai ditinggalkan oleh pelajar perempuan itu di lokasi kejadian yang menyatakan mangsa tertekan dalam pelajarannya.
Katanya, nota itu dipercayai ditulis oleh mangsa dan setakat ini polis masih menunggu laporan bedah siasat yang sedang dijalankan ke atas mayat remaja tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang telah menghantar pakar psikologi ke sekolah berkenaan pagi ini.
Katanya, tindakan segera itu diambil bagi memberikan bantuan dari segi psikologi kepada guru dan pelajar yang mungkin dalam keadaan terkejut serta trauma dengan peristiwa malang itu.
”Pakar psikologi ini akan berada di sekolah tersebut untuk mengawasi serta memantau keadaan pelajar yang memerlukan bantuan dari segi kesihatan mental mereka,” katanya. — BERNAMA