Terkini
GISBH: Kumpulan peguam kemuka bukti pemisahan kanak-kanak daripada ibu bapa tidak ikut undang-undang
Sekumpulan peguam bercadang mengemukakan bukti komprehensif di mahkamah bagi menyokong dakwaan bahawa tindakan memisahkan kanak-kanak dengan ibu bapa dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) tidak mengikut undang-undang.
- Menerusi kenyataan bersama, kumpulan peguam itu mengakui hak pihak pentadbiran untuk menjalankan siasatan ke atas pihak didakwa iaitu anggota GISBH, tetapi turut melahirkan kebimbangan serius terhadap laporan mengenai kanak-kanak yang telah dipisahkan daripada ibu bapa mereka semasa proses itu.
- Mereka mendakwa beberapa sumber menyatakan pemisahan itu telah berlaku di luar sempadan protokol undang-undang, termasuk apa yang digariskan dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak.
- “Pasukan guaman kami sedang giat menyediakan prosiding undang-undang yang bersesuaian untuk menangani pelanggaran yang didakwa ini, sepertimana yang terpakai, dan memastikan pemulangan segera kanak-kanak yang telah dipisahkan secara menyalahi undang-undang daripada keluarga mereka.
- “Kami bercadang untuk membentangkan bukti komprehensif yang menyokong pendirian anak guam kami di hadapan mahkamah,” kata kumpulan peguam itu dalam kenyataan bersama dimuat naik salah seorang peguam berkenaan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir di platform X pada Selasa.
KUALA LUMPUR —- Sekumpulan peguam bercadang mengemukakan bukti komprehensif di mahkamah bagi menyokong dakwaan bahawa tindakan memisahkan kanak-kanak dengan ibu bapa dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) tidak mengikut undang-undang.
Menerusi kenyataan bersama, kumpulan peguam itu mengakui hak pihak pentadbiran untuk menjalankan siasatan ke atas pihak didakwa iaitu anggota GISBH, tetapi turut melahirkan kebimbangan serius terhadap laporan mengenai kanak-kanak yang telah dipisahkan daripada ibu bapa mereka semasa proses itu.
Mereka mendakwa beberapa sumber menyatakan pemisahan itu telah berlaku di luar sempadan protokol undang-undang, termasuk apa yang digariskan dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak.
“Pasukan guaman kami sedang giat menyediakan prosiding undang-undang yang bersesuaian untuk menangani pelanggaran yang didakwa ini, sepertimana yang terpakai, dan memastikan pemulangan segera kanak-kanak yang telah dipisahkan secara menyalahi undang-undang daripada keluarga mereka.
“Kami bercadang untuk membentangkan bukti komprehensif yang menyokong pendirian anak guam kami di hadapan mahkamah.
“Dengan ini, kami secara rasmi mengingatkan semua pihak berkuasa yang berkaitan tentang tanggungiawab mereka untuk menjalankan siasatan dalam parameter ketat undang-undang Malaysia dan prosedur undang-undang yang telah ditetapkan.
“Sebarang tindakan yang diambil di luar parameter ini boleh mengakibatkan kesan undang-undang yang serius, terutamanya berkaitan kepentingan terbaik kanak-kanak yang terlibat,” kata kumpulan peguam itu dalam kenyataan bersama dimuat naik salah seorang peguam berkenaan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir di platform X pada Selasa.
Selain Nizam, kenyataan itu turut disokong lima lagi peguam dari firma guaman lain, termasuk Rizal Abdullah dari Rizal Abdullah & Co.; Dorina Abdullah dari Dorina Abdullah & Co.; Hizri Hasshan dari Akram Hizri Azad & Azmir; Muhammad Shahrin Satheer dari Shahrin Satheer Kamal & Co. dan Asmawati Mohd Shuaib dari Asmawati Shuaib Advisory.
Jurucakap Kerajaan Madani, Fahmi Fadzil pada Selasa dilaporkan berkata jumlah kanak-kanak diselamatkan daripada rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH melalui beberapa operasi pihak berkuasa kini 662 orang.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, kesemua mereka kini telah mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan.
Dalam pada itu, MalaysiaNow pada Isnin menerbitkan laporan “’Mana anak kami?’ Ibu bapa sangkal dakwaan tak tuntut kanak-kanak terlibat dalam serbuan Ops Global”.
Laporan itu antaranya menyatakan ibu bapa anak-anak yang diselamatkan pihak berkuasa dalam siri serbuan di pusat jagaan milik GISBH menafikan dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa mereka tidak menuntut anak-anak masing-masing setelah hampir sebulan.
Mereka menzahirkan rasa kecewa kerana masih tidak dimaklumkan mengenai nasib anak-anak mereka sehingga hari ini. —- The Merdeka Times