Connect with us

Terkini

(VIDEO) Dakwaan Bloomberg: PM serah kepada PDRM, Peguam Negara ambil tindakan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan, termasuk memanggil wakil Bloomberg, berhubung dakwaan agensi berita antarabangsa itu mengenai campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan, termasuk memanggil wakil Bloomberg, berhubung dakwaan agensi berita antarabangsa itu mengenai campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
  • Anwar berkata beliau menyerahkan kepada PDRM untuk menjalankan siasatan dan pihak Peguam Negara untuk mengambil tindakan perundangan bersesuaian.
  • Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang meminta Perdana Menteri menyatakan  apakah kerajaan bersedia mengambil tindakan perundangan terhadap Bloomberg berhubung dakwaan campur tangan Perdana Menteri  dalam siasatan SPRM sehingga mencemarkan imej beliau dalam usaha memerangi salah guna kuasa dan rasuah.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan, termasuk memanggil wakil Bloomberg, berhubung dakwaan agensi berita antarabangsa itu mengenai campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Anwar berkata beliau menyerahkan kepada PDRM untuk menjalankan siasatan dan pihak Peguam Negara untuk mengambil tindakan perundangan bersesuaian.

Setakat ini tindakan perundangan sedang diteliti kerana pihak PDRM telah menerima laporan dan telah mengambil berapa tindakan termasuk (memanggil) wakil Bloomberg dan individu-individu terkait pada 1, 8 dan 11 Oktober yang lalu. 

“SPRM sendiri telah membuat kenyataan yang jelas, menafikan tomahan tersebut kerana apa yang berlaku hanya arahan umum yang saya lakukan termasuk di Parlimen. 

“Yang saya mahu SPRM, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), PDRM, Badan-badan penguatkuasa bertindak tegas memerangi rasuah secara tegas tanpa tolak ansur dan badan penguatkuasaan memerangi jenayah dengan tegas.

“Ini arahan yang diberikan tetapi tidak melibatkan kes-kes khusus kerana SPRM seperti juga Jabatan Peguam Negara harus bertindak bebas dan telus without fear or favour,” kata Anwar di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang meminta Perdana Menteri menyatakan  apakah kerajaan bersedia mengambil tindakan perundangan terhadap Bloomberg berhubung dakwaan campur tangan Perdana Menteri  dalam siasatan SPRM sehingga mencemarkan imej beliau dalam usaha memerangi salah guna kuasa dan rasuah.

Media sebelum ini melaporkan Bloomberg memetik tiga sumber yang berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pernah memberitahu pegawainya bahawa Anwar memberi arahan memulakan siasatan terhadap beberapa musuh politik, termasuk bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anak-anaknya.

Bloomberg memetik sumber sama sebagai berkata Anwar turut memberitahu Azam supaya tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador berhubung pembelian kontroversi saham dalam sebuah syarikat yang dikaitkan dengan pembangunan sistem imigresen baharu bernilai RM1 bilion.

Pejabat Perdana Menteri dan SPRM dilaporkan telah menafikan dakwaan itu.

Mengulas tindakan ke atas Bloomberg, Anwar berkata ia perlu menunggu laporan PDRM dan sekiranya wujud kesalahan, maka Peguam Negara yang memutuskan sama ada ingin mendakwa atau sebaliknya.

“…Tindakan (terhadap Bloomberg) tunggu laporan PDRM dan sekiranya didapati kesalahan yang nyata, itu keputusan Peguam Negara untuk mendakwa,” kata Anwar.

Dalam pada itu, Anwar berkata dakwaan terkini mengaitkan beliau adalah tohmahan kedua dilaporkan Bloomberg selepas laporan pertama membabitkan Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong dalam soal izin pembinaan kasino baharu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tohmahan pertama dibuat Bloomberg itu menjadi fitnah keterlaluan dan tidak pernah dibangkitkan Jemaah Menteri mahupun Yang di-Pertuan Agong. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *