Terkini
Pengerusi SUHAKAM harap kerajaan ratifikasi ICERD
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus berharap Kerajaan Madani akan menandatangani perjanjian antarabangsa penting merangkumi diskriminasi kaum dan pelarian sebelum penggal tiga tahunnya tamat pada Julai 2027.
- Pengerusi SUHAKAM, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus berharap Malaysia akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Konvensyen Pelarian 1951 dalam tempoh penggalnya.
- “Juga perlu ada pemahaman yang lebih mendalam tentang hak asasi manusia oleh agensi kerajaan, dan dasar mesra hak asasi manusia,” katanya kepada Free Malaysia Today.
- Pada Oktober 2018, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dilaporkan berkata ratifikasi ICERD tidak akan memberi kesan kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
- P. Waytha Moorthy berkata langkah kearah ratifikasi ICERD dengan tujuan menjadikan rekod hak asasi manusia negara dihormati dunia adalah selaras manifesto Kerajaan Pakatan Harapan.
- Tindakan itu bagaimanapun tidak mendapat persetujuan pemimpin tertinggi UMNO dan PAS apabila parti politik tersebut mengadakan perhimpunan bagi membantah pelan ratifikasi ICERD pada 8 Disember 2018.
- Ia berikutan ratifikasi ICERD didakwa akan menjejaskan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, termasuk berkenaan kuota kaum di institusi awam.
- Kerajaan PH pada 23 November 2018 memutuskan untuk tidak meratifikasi ICERD.
KUALA LUMPUR — Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus berharap Kerajaan Madani akan menandatangani perjanjian antarabangsa penting merangkumi diskriminasi kaum dan pelarian sebelum penggal tiga tahunnya tamat pada Julai 2027.
Hishamudin yang dilantik pada bulan lalu berharap Malaysia akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Konvensyen Pelarian 1951 dalam tempoh penggalnya.
Beliau berharap dapat menyemai kesedaran lebih besar tentang hak asasi manusia dalam diri rakyat Malaysia dan mahu kerajaan menjadikan hak asasi manusia sebagai salah satu keutamaannya.
“Juga perlu ada pemahaman yang lebih mendalam tentang hak asasi manusia oleh agensi kerajaan, dan dasar mesra hak asasi manusia,” katanya kepada Free Malaysia Today.
Difahamkan, Konvensyen Antarabangsa itu telah berfungsi sejak Januari 1969 dan hampir seluruh negara di dunia ini meratifikasikannya, namun Malaysia adalah satu daripada dua negara majoriti Islam di dunia yang belum meratifikasi ICERD – satu lagi ialah Brunei.
Antara peruntukan utama dalam ICERD adalah Perkara 2 yang mengutuk diskriminasi kaum dan mewajibkan negara menghapuskan diskriminasi kaum dalam semua bentuk.
Pada Oktober 2018, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dilaporkan berkata ratifikasi ICERD tidak akan memberi kesan kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
Menteri yang bertanggungjawab mengenai perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial itu berkata langkah kearah ratifikasi ICERD dengan tujuan menjadikan rekod hak asasi manusia negara dihormati dunia adalah selaras manifesto Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Tindakan itu bagaimanapun tidak mendapat persetujuan pemimpin tertinggi UMNO dan PAS apabila parti politik tersebut mengadakan perhimpunan bagi membantah pelan ratifikasi ICERD pada 8 Disember 2018.
Ia berikutan ratifikasi ICERD didakwa akan menjejaskan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, termasuk berkenaan kuota kaum di institusi awam.
Selepas mengambil kira bantahan pelbagai pihak, kerajaan PH pada 23 November 2018 memutuskan untuk tidak meratifikasi ICERD.
Memetik Berita Harian, Pejabat Perdana Menteri ketika itu menyatakan kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.
Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum itu menegaskan adalah mustahil untuk melaksanakan ICERD kerana pelaksanaannya memerlukan penggubalan semula Perlembagaan Persekutuan.
Mufti Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri juga berpandangan ICERD tidak perlu dan tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.
Zulkifli berkata kemudaratan pelaksanaan ICERD dikhuatiri lebih besar daripada kebaikannya. — The Merdeka Times