Connect with us

Terkini

JAKIM, MKN cadang perkahwinan pelarian asing didaftarkan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mencadangkan supaya perkahwinan pelarian asing di negara ini didaftarkan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Ia dikemukakan menerusi kertas cadangan secara bersama membabitkan JAKIM dan MKN ketika mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kali ke-72 hari ini.
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kertas cadangan itu dikemukakan selepas mengambil kira kewujudan kira-kira 190,000 pelarian di negara ini, termasuk dari Rohingya, Syria dan Palestin.
  • Na’im berkata permasalahan timbul apabila pelarian itu berkahwin, namun mereka tidak mempunyai sebarang dokumen dan seterusnya mempunyai anak serta menetap di negara ini.
  • “Ia akan menimbulkan masalah sosial… atas sebab itu kita rasa ada keperluan untuk pastikan perkahwinan mereka didaftarkan di Malaysia,” katanya dipetik Berita Harian selepas mesyuarat itu hari ini.
  • Mohd Na’im berkata selepas ulasan dan pembentangan, MKI bagaimanapun bersetuju menangguhkan dan membawa cadangan terbabit ke mesyuarat akan datang iaitu antara November atau Disember ini.

KUALA LUMPUR — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mencadangkan supaya perkahwinan pelarian asing di negara ini didaftarkan.

Ia dikemukakan menerusi kertas cadangan secara bersama membabitkan JAKIM dan MKN ketika mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kali ke-72 hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kertas cadangan itu dikemukakan selepas mengambil kira kewujudan kira-kira 190,000 pelarian di negara ini, termasuk dari Rohingya, Syria dan Palestin.

Na’im berkata permasalahan timbul apabila pelarian itu berkahwin, namun mereka tidak mempunyai sebarang dokumen dan seterusnya mempunyai anak serta menetap di negara ini.

“Ia akan menimbulkan masalah sosial… atas sebab itu kita rasa ada keperluan untuk pastikan perkahwinan mereka didaftarkan di Malaysia.

“Apabila perkahwinan ini didaftarkan, mereka ini layak terima sesuatu keistimewaan,” katanya dipetik Berita Harian selepas mesyuarat itu hari ini.

Mohd Na’im berkata selepas ulasan dan pembentangan, MKI bagaimanapun bersetuju menangguhkan dan membawa cadangan terbabit ke mesyuarat akan datang iaitu antara November atau Disember ini.

Beliau berkata ia ditangguhkan kerana ada isu sensitif terutama membabitkan konteks keselamatan.

“Kertas cadangan itu ditangguhkan untuk diharmonikan, lihat pada aspek keselamatan dan akan dibawa semula nanti.

“Sebarang cadangan dikemukakan di peringkat MKI akan dibawa kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenan, selepas itu ia akan dapat kuasa tertinggi berkaitan dengan isu agama Islam,” katanya.

Pada 2023, media melaporkan lambakan kes warga Rohingya memilih berkahwin secara nikah koboi atau lebih dikenali sebagai nikah ekspres di negara ini berpunca daripada masalah kewarganegaraan.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan Bahagian Undang-Undang Keluarga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Moktar Salleh berkata situasi itu berlaku apabila pasangan tersebut bukan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Malah, nikah koboi itu di­pilih apabila warga Rohingya mahu berkahwin dengan orang tempatan atau warga Indonesia kerana lebih mudah berbanding cara sah yang rumit dan memakan masa lama.

Beliau berkata ketiadaan status kewarganegaraan sah menyukarkan pihak berkuasa agama negeri untuk mengeluarkan sijil nikah rasmi terhadap pasangan Rohingya itu.

Ketiadaan surat nikah rasmi pula menyebabkan anak-anak dilahirkan sukar disahtarafkan sehingga terpaksa dinasabkan dengan bin atau binti Abdullah atau mana-mana nama Asmaul Husna.

Selain itu, jika berlaku perceraian, bekas isteri hilang hak menuntut nafkah kerana perkahwinan itu tidak didaftarkan dengan undang-undang syariah negara ini. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *