Terkini
Novel ‘soft porn’ satu jenayah moral, cari penulis hingga lubang cacing
Novel karya tempatan, termasuk novel “Lelaki Astatine”, yang didakwa mengandungi elemen soft porn adalah tindakan jenayah moral dan merosakkan akhlak umat.
- “Penulis yang menyuntik unsur soft porn dalam novel remaja selalunya berselindung di sebalik nama samaran. Cari mereka sampai ke lubang cacing untuk diberi kata nasihat atau kata dua.
- “Tulisan mereka adalah satu jenayah moral dan merosakkan akhlak umat,” kata Penulis skrip, Zabidi Mohamed ketika dihubungi The Merdeka Times (TMT) di sini pada Rabu.
- Zabidi mengulas isu novel tempatan didakwa mengandungi babak ‘soft porn’ dan ia dilihat semakin dinormalisasikan dalam dunia penerbitan.
- TMT semalam melaporkan seorang wanita melahirkan kegusaran tentang novel “Lelaki Astatine” karya penulis novel terkenal, Anjell yang laris penjualannya, termasuk dalam kalangan pelajar sekolah sedangkan ia didakwa mempunyai kandungan soft porn.
KUALA LUMPUR — Novel karya tempatan, termasuk novel “Lelaki Astatine”, yang didakwa mengandungi elemen soft porn adalah tindakan jenayah moral dan merosakkan akhlak umat.
Penulis skrip, Zabidi Mohamed berkata penulis karya sedemikian kebiasaanya akan berselindung di sebalik nama samaran, namun keberadaan mereka perlu dicari untuk dinasihati tentang tindakan mereka menyuntik unsur soft porn dalam novel.
“Penulis yang menyuntik unsur soft porn dalam novel remaja selalunya berselindung di sebalik nama samaran. Cari mereka sampai ke lubang cacing untuk diberi kata nasihat atau kata dua.
“Tulisan mereka adalah satu jenayah moral dan merosakkan akhlak umat,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times (TMT) di sini pada Rabu.
Zabidi yang sebelum ini antara individu lantang mengkritik filem Mentega Terbang kerana mempersendakan agama Islam secara terang-terangan, berkata demikian mengulas isu novel tempatan didakwa mengandungi babak ‘soft porn’ dan ia dilihat semakin dinormalisasikan dalam dunia penerbitan.
TMT semalam melaporkan seorang wanita melahirkan kegusaran tentang novel “Lelaki Astatine” karya penulis novel terkenal, Anjell yang laris penjualannya, termasuk dalam kalangan pelajar sekolah sedangkan ia didakwa mempunyai kandungan soft porn.
TMT pada tahun lalu melaporkan seorang pengguna Facebook yang juga penulis buku iaitu Husna Adnan, meluahkan kebimbangan apabila novel Darlingku Mr. Cold Mafia nukilan penulis baru, Shadhia yang dilihat seolah-olah ingin menaikkan unsur ‘grooming’ di dalam karyanya.
Ketika itu, syarikat terbitan karya tersebut memaklumkan mereka akan menghentikan penjualan novel tersebut di pasaran dengan serta-merta susulan isu tersebut menjadi tular dan menimbulkan keresahan dalam kalangan pembaca.
Mengulas isu itu, Pakar Psikologi Kanak-Kanak di CPC International Sdn Bhd, Dr Noor Aishah Rosli menjelaskan membaca bahan bacaan seperti novel bertemakan cinta dan berbaur seksual itu seronok, namun kesan jangka panjang untuk golongan remaja bawah umur mungkin tidak nampak sedangkan ia boleh menyebabkan mereka ralit dengan fantasi.
Beliau berkata individu menonton atau melihat bahan lucah juga akan berdepan masalah ketagihan hingga akhirnya menjejaskan potensi hidup mereka dan menyebabkan hilang fokus berikutan sentiasa menginginkan keseronokkan. — The Merdeka Times
Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/