Connect with us

Kolumnis

Puasa sebelum menjadi Muslim: “Alangkah baiknya kalau aku sendiri dapat merasakan apa yang mereka lalui”

ADA satu trend yang dilakukan golongan bukan Muslim pada bulan Ramadan iaitu membuat ‘Puasa Challenge’ di mana mereka akan berpuasa seperti Muslim.  

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

ADA satu trend yang dilakukan golongan bukan Muslim pada bulan Ramadan iaitu membuat ‘Puasa Challenge’ di mana mereka akan berpuasa seperti Muslim.  

Ini satu trend yang bagus di mana mereka ingin merasa pengalaman tidak makan dan minum dari matahari terbit hingga terbenam kerana berpuasa hakikatnya sukar untuk dilakukan. Maka, ia wajar dipuji. 

Bayangkan, menahan makan dan minum lebih daripada 13 jam selama sebulan.

Ia tidak mudah sebab itulah ianya salah satu simbolik perhambaan kita kepada yang maha Esa. 

Pengalaman berpuasa pertama sebelum Muslim

Teringat saya akan pengalaman berpuasa sebelum memeluk Islam kira-kira enam tahun lalu, sebagai bukan Muslim ketika itu, saya juga melihat amalan berpuasa ini sesuatu yang sangat sukar untuk dilakukan, namun saya ingin mencuba. 

Pada waktu itu, saya bersahabat dengan rakan serumah beragama Islam dan pada setiap hari juga, saya akan melihat mereka beribadah di rumah. Mereka akan solat dan juga berpuasa. 

Amalan yang asing menurut kepercayaan saya pada waktu itu. 

Jadi, ia menarik minat saya untuk mengenali agama yang sahabat saya anuti dengan lebih dekat.

“Alangkah baiknya kalau aku sendiri dapat merasakan apa yang mereka lalui,” detik hati saya ketika itu . 

Antara perkara pertama yang saya lakukan adalah berpuasa dan ia adalah pengalaman paling unik yang saya tidak akan lupakan. 

“Sahur…Sahur…” 

Tepat pukul 5 pagi rakan serumah saya akan mengejutkan saya untuk bersahur bersama mereka.  

Tidak pernah saya bersarapan (pada waktu itu, bagi saya sahur adalah sarapan) pada pukul 5 pagi. Ini adalah kali pertama dalam seumur hidup saya. 

“Eh, tidaklah susah sangat. Tak mati pun kalau tak makan minum seharian,” ujar saya pada hari pertama berpuasa. 

Tidak disangka, saya berjaya menghabiskan tempoh berpuasa selama 30 hari pada tahun pertama saya mencuba untuk berpuasa. 

Dengan tekad itu walaupun belum Muslim, saya teruskan berpuasa pada tahun-tahun berikutnya sehinggalah Allah SWT membuka hati saya untuk menerima hidayah Islam pada 2020.  

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. 

Pengalaman berpuasa pertama sebagai Muslim

Apabila saya memeluk Islam, apa yang saya sedar perbezaan antara amalan berpuasa sebelum Muslim dan sebagai Muslim adalah niat.

Jikalau dahulu, saya hanya berpuasa pada bulan Ramadan untuk mencapai ‘goal’ berpuasa sebulan. 

Namun kali ini saya sedar berpuasa adalah kerana perintah dan tuntutan daripada Sang Pencipta Manusia, Allah SWT. Sepertimana firman Allah dalam Quran yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah 2:183)

Kali ini niat saya bukanlah bersifat peribadi atau hendak mencapai ‘goal’ berpuasa sebulan, tetapi lebih menunjukkan sifat hambanya kita sebagai manusia, hanya kerana Allah SWT. 

Menahan diri daripada makan dan minum kerana Allah SWT. Menahan nafsu syahwat juga kerana Allah SWT. Berpuasa sebagai Muslim kali ini adalah lebih bertujuan.  

“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh anak Adam akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal dengannya hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman (yang bermaksud), “Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan, iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” (Sahih Bukhari, No. 1904)

Mungkin ada yang membuat ‘Puasa Challenge’ untuk dijadikan konten sosial media dan ada orang berpuasa atas kelebihan kesihatan. 

Namun ini yang membezakan kita sebagai Muslim, kita berpuasa adalah kerana itulah ibadah yang menunjukkan tanda ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Dan kini kita hampir mengakhiri Ramadan, bulan yang penuh keberkatan dan hanya dijumpai sekali dalam setahun. 

“Ya Allah, janganlah ini kali terakhir aku merasai nikmat Ramadhan-Mu.” 

Moga madrasah asuhan Ramadhan ini dapat mengajarkan kita menjadi hamba Allah yang bertakwa dan Muslim yang lebih baik. 

‘Taqabballahu minna wa minkum’ (Semoga Allah menerima amal ibadah kita dan kamu semua) – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *